Home Berita PAS Perak

MEMAHAMI FITNAH MESRA KERAJAAN (UG) DAN RAMALAN PASCA PRU14

905
SHARE

Pengenalan

Prasangka atau yang lebih berat lagi iaitu FITNAH mesra kerajaan memerintah (UG) telah wujud sejak zaman berzaman.

Semasa tahun 80an dan 90an, telah wujud prasangka-prasangka bahawa pemimpin-pemimpin NGO seperti Al-Arqam dan Abim mendapat manfaat material dari kerajaan memerintah pada masa tersebut. Namun, mujurlah tidak ada pihak yang mengangkatkannya sampai ke tahap fitnah.

Prasangka Dan Fitnah Sebelum Pru14

Pasca Pru13, parti PAS mula melaksanakan dasar Budaya Matang Dan Sejahtera (BPMS) yang antara pendekatannya ialah Amat Kurang Menyerang Kerajaan. Kemudian berlaku pula pepecahan Pakatan Rakyat yang akhirnya menyebabkan PAS mengambil keputusan untuk bergerak secara Solo.

Apabila Pakatan Harapan terbentuk dan PAS masih mengambil pendirian untuk terus bergerak secara solo atas sebab-sebab kepentingan Islam dan Bangsa Melayu. Tindakan bergerak solo akan menyebabkan undi Pihak Pembangkang akan pecah dua dan memudahkan kerajaan ketika itu terus menang selamanya. Keadaan ini menyempurnakan bahan bakar untuk api fitnah Mesra Kerajaan”. Walaupun tanpa apa-apa fitnah sekali pun, prasangka-prasangka mula timbul di kalangan ahli PAS dan rakyat awam.

Pihak musuh-musuh PAS melihat situasi ini sebagai peluang keemasan. Fitnah menerima dana dari kerajaan BN kepada beberapa pimpinan PAS mula bertiup antaranya fitnah 90 juta yg disahkan rekaan semata-mata. Namun api marak tidak dapat dibendung kerana bahan bakar telah sempurna.

Fitnah ini berjaya menimbulkan ketakutan dan igauan buruk pada ahli dan pimpinan parti PAS untuk bekerjasama dengan kerajaan, hatta kepada parti Umno sekalipun parti Umno telah kalah teruk, tidak menjadi kerajaan lagi dan nyawa-nyawa ikan.

Ramalan Pasca Pru14.

Sepertimana sejarah, prasangka dan fitnah “Mesra Kerajaan UG” adalah perkara biasa sejak zaman berzaman. Cuma kali ini pihak kerajaan telah berubah, maka istilah UG atau Mesra Kerajaan ini berubah kepada UG dengan PH.

Antara bahan-bahan bakar untuk prasangka dan fitnah baru ialah:

1. Parti PAS dijangka akan meneruskan agenda BPMS ditambah pula dengan keperluan menjaga hubungan baik dengan kerajaan federal PH antara negeri Kelantan dan Terengganu, termasuklah tuntutan royalti minyak.
Jadi bahan bakar utama masih sama.

2. Berdasarkan jumlah undi dalam pru14. didapati amat banyak parlimen dan dun di mana bahawa jumlah undi PH berada di bawah 50%. Ini bermaksud jika undi parti PAS dan undi parti Umno digabungkan, parti PH dengan mudah dapat dikalahkan. Jadi wujud niat atau MOTIF yang kuat di pihak Kerajaan PH untuk membeli pimpinan PAS agar usaha kerjasama parti PAS dan parti Umno dapat dielakkan daripada berlaku yang boleh mengakibatkan kerajaan PH jatuh pada pru15.

3. Terdapat beberapa pimpinan parti PAS yang masih dikenali agak rapat dengan Dato Seri Anwar Ibrahim dan mereka ini boleh diprasangkakan untuk menjadi ejen pihak PH.

4. Wujud pemikiran bahawa parti PAS akan menjadi amat kerdil di pantai barat terutamanya di Johor, Melaka, NS dan Selangor sekiranya PAS masih mengambil pendirian bergerak solo di pru akan datang. Pemikiran ini dengan mudah boleh berubah menjadi dendam dan rasa tidak puas hati penyokong PAS, terutama di pantai barat kepada pimpinan parti PAS, tambahan pula buat masa ini kepimpinan PAS majoritinya dari pantai timur.

5. Sejak puluhan tahun, rakyat dimomokkan kononnya parti PAS “Pemecahbelah orang Islam dan Melayu di Malaysia” walaupun hakikatnya TIDAK. Momokan ini akan bertambah kuat dan boleh berubah menjadi bahan bakar fitnah yang kuat sekiranya parti PAS masih tetap bergerak solo dan tidak mahu bekerjasama dengan parti Umno walaupun sedar ianya menyebabkan undi pihak Islam Melayu berpecah dua dan mengakibatkan parti PH yang menerima undi kukuh daripada pihak bukan Islam/Melayu. Berdasarkan Pru14 lepas, pihak parti PH hanya memerlukan 20% undi dari orang Melayu untuk mereka menang dikebanyakkan kerusi dan semua pihak tahu, HANYA dengan gabungan undi Parti PAS dan parti Umno sahaja yang dapat mengalahkan PH.

6. Penyokong PAS juga sekian lama dimomokkan sebagai mereka yang merasakan bahawa mereka sahaja yang suci dan melihat penyokong dan pemimpin Umno sebagai manusia yang kotor dengan pelbagai isu. Jika keputusan PAS tidak mahu bekerjasama dengan parti Umno, tuduhan ini telah sampai ke tahap sempurna dan boleh menjadi bahan bakar untuk fitnah juga.

Kesimpulannya, pasca pru14 akan menyaksikan kewujudan prasangka dan fitnah “Mesra Kerajaan UG” cuma kali ini dengan pihak kerajaan yang baru. Tetapi jika pihak parti PAS bertindak mengadakan kerjasama sesama pihak pembangkang terutamanya dengan parti Umno, maka fitnah ini dengan mudah dapat dibendung.

Oleh:
Dr Ishak Ibrahim
Penganalisis Politik
Selasa 22 Mei 2018