Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. ”
[Surah Ali Imran : 103]
Jajaran politik perpaduan ummah sesungguhnya satu kewajiban yang perlu diteroka dan dibina oleh umat Islam dimana-mana sahaja dan dalam apa situasi sekalipun sebagaimana dijelaskan dalam ayat ini.
Apabila kekuatan umat Islam berjaya digembeling dan dibina ketika itu keadilan dan kesejahteraan buat semua umat manusia dapat dipancarkan dan dinikmati.
Sebagai sebuah gerakan Islam PAS tidak pernah berputus asa dalam usaha ini walau ianya bukan mudah dan penuh dengan cabaran dan dugaan.
Kesabaran dan kematangan adalah panduan dalam menyusun langkah kerana perpaduan hanya dapat diperkukuhkan melalui Islam sebagaimana tema ucapan dasar Tuan Guru Presiden PAS dalam Muktamar ke 66 tahun lalu : “Islam Memperkukuh Perpaduan”
Dalam ucapan dasarnya itu Tuan Guru menyebut:
“Kita wajib menghadapi PRU 15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan bagi menghadapi PRU kali ini supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang.”
Tuan Guru Presiden PAS konsisten menyeru agar tidak lagi diulangi kesilapan bertanding sesama sendiri menghadapi musuh. Dan bagi PAS sendiri tidak keterlaluan kalau saya katakan di bawah teraju Tuan Guru sebagai Presiden lah “Islam Memimpin Perpaduan” itu bukan lagi slogan tetapi realiti. Ini hasil perjuangan Almarhum kepimpinan dan para Presiden kita silih berganti sebelumnya dan dimuktamadkan pencapaiannya di bawah kepimpinan Tuan Guru.
Hari ini kita berhadapan PRN Melaka.
Inilah masanya kita memastikan apa yang selama ini kita usahakan dapat dipraktikkan.
Melaka bumi subur untuk menegakkan panji-panji jajaran politik perpaduan ummah yang insyallah nanti apabila berkibar megah bakal diulangi di negeri-negeri lain termasuk seluruh negara.
MT Umno semalam telah membuat keputusan. Ia membuktikan kejayaan dakwah kita selama ini dan seterusnya dalam waktu terdekat Majlis Syura Ulamak PAS pula bakal membuat panduan.
Bersatulah semua kepimpinan dan parti-parti politik Melayu Islam, dakapi realiti dan bersama membela nasib dan masa depan ummah.
Apa pun kita harapkan kerajaan keluarga Malaysia yang kita tegakkan diperingkat Persekutuan akan lahir pula di Melaka dan PH yang didominasi DAP terus berkubur.
29 Oktober 2021 | 22 Rabiul Awal 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor