Home Berita PAS Pulau Pinang

Maulidur Rasul Dapat Merealisasikan Perpaduan Ummah Pelbagai Parti

757
SHARE

UMMU AL – FATEH

KEPALA BATAS : Sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Kepala Batas telah dijalankan pada 25 November bertempat di Masjid Jamiul Badawi.

Majlis bermula pada jam 8.00 pagi dengan perarakan Maulidur Rasul sejauh 1.5 kilometer melalui jalan sekitar pekan Kepala Batas.

Pemilihan tempat program di Masjid Jamiul Badawi yang begitu dekat dengan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini telah berjaya mengumpulkan pelbagai parti politik dalam usaha memupuk cinta bagi menghayati kehidupan baginda Rasul SAW.

Semasa sesi tazkirah, ADUN Penaga Ustaz Yusni Mat Piah bersyukur dengan penganjuran majlis yang dapat menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang politik selaras dengan fungsi sebenar masjid sebagai tempat penyatuan ummah.

Beliau menyatakan bahawa dalam peristiwa hijrah perkara utama yang Rasulullah SAW lakukan ialah pembinaan Masjid Quba’ iaitu masjid pertama dalam Islam yang dibina atas dasar taqwa untuk menyatukan umat Islam.

“Oleh itu, kita hendaklah berusaha mendapatkan cinta Nabi dengan berpegang kepada dua peninggalan Nabi khusus buat umatnya yang dirindui iaitu Al Quran dan As Sunnah,”

“Baginda Nabi begitu mengasihi kita. Justeru mana mungkin kita berdiam diri saat baginda dihina serta ketika Islam diperkotak-katikkan,” tambah beliau mengajak masyarakat bersatu-padu mempertahankan Islam.

Sementara itu, YDP PAS Kepala Batas, Tuan Bukhori Ghazali merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen pihak jawatankuasa penganjur, pihak masjid serta semua pihak yang terlibat menjayakan majlis.

Pengerusi Masjid Jamiul Badawi, Shariful Azhar Othman yang juga mantan ADUN Bertam berbangga kerana penyatuan julung kali sempena Maulidur Rasul ini diadakan di masjid antara yang tertua serta penuh bersejarah di Pulau Pinang.

Selanjutnya Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya, menyeru masyarakat Kepala Batas menghidupkan perasaan cinta akan Rasul dengan melakukan apa yang Nabi suka seperti membantu orang susah dan mengasihi anak yatim.

Acara persembahan qasidah daripada kumpulan Ashabul Syifa’ daripada Pusat Serenti Kampong Selamat turut memeriahkan majlis dengan persembahan yang baik hingga berjaya memberi kesan kepada semua yang hadir.

Majlis diakhiri dengan penyampaian Anugerah Maulidur Rasul bagi kategori tokoh muda, tokoh khidmat masyarakat dan tokoh kepimpinan.

ADUN Pinang Tunggal merangkap Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta ADUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq walau bagaimanapun tidak dapat turut serta dalam program ini kerana terlibat dalam program yang lain.