Home Berita PAS Pusat

Maulana Sadar Jahan: Ulamak Melaka Melawan Portugis

1712
SHARE


RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441

Siri 1
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

MAULANA SADAR JAHAN: ULAMAK MELAKA MELAWAN PORTUGIS


KEWUJUDAN Kerajaan Melayu Melaka semenjak 1262M, serentak dengan kebangkitan Kerajaan Samudera-Pasai di timur Aceh adalah pelanjutan daripada Kerajaan Perlak yang wujud sejak 840M. Melaka telah muncul sebagai pusat perdagangan, penyebaran Islam dan kuasa politik Melayu terpenting hampir tiga abad sehingga 1511M. Dengan kedudukan sebagai pusat penyebaran Islam, Melaka dikunjungi oleh para ulamak-pendakwah dari pelbagai negara, termasuk Hijaz yang terletaknya dua Tanah Suci itu. Walau bagaimanapun, keagungan Melaka telah berakhir ekoran serangan Portugis pada 10 Ogos 1511M.

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis atau Benggali Putih itu bukanlah berlaku dengan sekelip mata, tetapi setelah melalui perjuangan hampir sebulan lamanya. Portugis sendiri menyerang Melaka sebagai lanjutan Perang Salib dan kejayaan Kerajaan Katolik menghancurkan Granada pada 1492M. Mereka menjadikan penahanan Deigo Lopez de Sequiera pada 1509M sebagai alasan menyerang Melaka. Walhal penglibatan Portugis dalam pergolakan politik Asia Barat antara Othmaniyah, Mamalik dan Shafawi telah diketahui oleh Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah menerusi para ulamak dan pedagangan yang datang dari Jeddah.

Ulamak di Melaka

Menurut Sejarah Melayu, Sultan Melaka telah di-Islamkan oleh Syed Abdul Aziz, ulamak-pendakwah di Jeddah. Kemudian keturunan Syed Abdul Aziz menggantikan beliau sebagai Qadhi Melaka beberapa generasi seperti anaknya, Qadhi Maulana Yusof dan cucunya, Qadhi Munawar Syah. Beberapa ulamak lain turut menjadi pembesar di Melaka seperti Maulana Abu Bakar dan Maulana Sadar Jahan. Pada zaman Sultan Mahmud Syah (1488-1511M), Qadhi Munawar Syah dan Maulana Sadar Jahan adalah ulamak yang paling berpengaruh di istana, bahkan pada zaman Sultan Ahmad Syah (1511M), Maulana Sadar Jahan adalah Penasihat Sultan.

Peranan ulamak dalam istana Melaka bukan hanya sebagai guru agama atau pakar rujuk hukum agama sahaja, tetapi turut berperanan untuk menyebarkan Islam, menguatkuasakan undang-undang Islam seperti penggubalan Hukum Kanun Melaka, sebagai pembesar bertaraf menteri dan juga penasihat yang berpengaruh ke atas Sultan Melaka. Peranan ini berlaku semenjak Raja Melaka memeluk Islam hingga kerajaan ini jatuh ke tangan Portugis pada 1511M. Sejarah Melayu memberikan gambaran secara meluas tentang peranan ini dalam pengukuhan pentadbiran Kerajaan Melaka.

Maulana Sadar Jahan: Penasihat Sultan Melaka

Sejarah Melayu mencatatkan, setelah kedatangan Portugis di Melaka pada 1509, telah datang “seorang pendeta, Maulana Sadar Jahan namanya, terlalu alim.” Tidak diketahui dengan terperinci tentang latar belakangnya, tetapi pendeta yang terlalu alim itu dicatatkan datang ke Melaka dengan kapal dari Jeddah, di Tanah Arab sekarang. Beliau digelar oleh orang Melaka sebagai “Makhdum” yang bererti “Tuan” yang biasa diguna untuk para ulamak dan ahli agama. Sejak itu, Sultan Mahmud Syah dan anaknya, Raja Ahmad serta para pembesar Melaka telah berguru dengan Maulana Sadar Jahan dalam pelbagai jenis ilmu sehingga dapat memperbaiki akhlak pembesar Melaka. Dicatatkan, Maulana Sadar Jahan pernah mencegah pembesar Melaka daripada meminum arak.

Selain daripada Sultan Mahmud Syah dan para pembesar Melaka, salah seorang murid utama Maulana Sadar Jahan ialah Raja Ahmad, Raja Muda Melaka. Dengan Maulana Sadar Jahan ini, Raja Ahmad belajar ilmu tauhid dan tasawuf, sehingga baginda sangat kasih kepada gurunya. Pada awal 1511M, Sultan Mahmud Syah yang menyesali tindakannya membunuh Bendahara Seri Maharaja kerana diperdaya oleh beberapa pembesar, telah melepaskan jawatannya sebagai Sultan Melaka dan melantik Raja Ahmad sebagai Sultan Melaka yang baru. Sultan Ahmad Syah pula mengangkat Maulana Sadar Jahan, gurunya itu sebagai Penasihat Sultan.

Melaka diserang Potugis: Peranan Maulana Sadar Jahan

Setelah Sultan Ahmad Syah membentuk kerajaannya menggantikan Sultan Mahmud Syah, wizurai Portugis di Goa, India, Alfonso de Albuquerque telah berlepas dari Goa pada April 1511M dan tiba di Melaka pada 1 Julai 1511M untuk menuntut pembebasan orang-orang Portugis, tetapi ditolak oleh Sultan Ahmad Syah. Setelah gagal berunding, pada 25 Julai 1511M, Albuquerque telah membedil Melaka dan memulakan serangan pertama. Sultan Ahmad Syah mengetuai sendiri rakyat Melaka diiringi oleh Maulana Sadar Jahan turun ke medan perang. Dalam pertempuran yang dahsyat ini, Jambatan Melaka yang ditawan oleh Portugis berhasil dirampas semula dan 69 orang tentera Portugis dibunuh.

Sejarah Melaka mencatatkan “Sultan Ahmad pun keluar naik gajah, Jinak Cik namanya; Sri Udani di kepala gajah, Tun Ali Hati di buntut gajah, Makhdum Sadar Jahan dibawa baginda bertimbal rengka, kerana baginda berguru ilmu tauhid kepadanya.” Dalam pertempuan pada 25 Julai 1511 ini, Jambatan Melaka telah ditawan dengan 70 askar Portugis mengawal jambatan tersebut. Tentera Melaka kemudiannya terus mengepung jambatan itu sehingga Portugis berundur dan menyerang lagi esoknya. Setelah itu, Maulana Sadar Jahan mengarahkan sultan kembali ke istana untuk mengatur serangan balas.

Menyedari bahawa Portugis akan menyerang balas, dan tentera Melaka perlu disuntik dengan semangat jihad. Seluruh tentera dan rakyat Melaka dikerah bersenjata dan berhimpun di balairung istana. Lalu mereka dibacakan beberapa hikayat perang “supaya kita beroleh faedah darinya.” Salah satu hikayat yang diberikan oleh Sultan Ahmad Syah dengan nasihat gurunya itu ialah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah yang mengandungi kisah jihad Islam ke atas Peringgi (Portugis). Sultan juga menyerahkan Hikayat Amir Hamzah untuk dibacakan kepada para tentera sehinga bangkit semangat jihad mereka.
Pada esoknya, Sultan Ahmad Syah bersama tentera Melaka telah menggempur Portugis sehingga kalah tentera Katolik itu.

Kejayaan Melaka mempertahan diri ini telah membuatkan Albuquerque yang berundur seketika datang semula ke Melaka pada 5 Ogos 1511M untuk melancarkan serangan kedua tanpa sebarang persiapan dari pihak Melaka. Portugis berhasil menguasai semula Jambatan Melaka pada 8 Ogos 1511M dan dua hari kemudian iaitu pada 10 Ogos 1511M, kerajaan Melaka telah tewas dan runtuh. Sultan Mahmud Syah telah berundur ke Bertam sebelum ke Pahang, sedangkan Sultan Ahmad Syah bersama Maulana Sadar Jahan dan para pembesarnya berundur ke Muar. Dengan itu, berakhirlah riwayat Kerajaan Melaka yang berdiri sejak 1262M.

Setelah kekalahan ini, Sultan Ahmad Syah tidak berdiam diri. Baginda bersama Sultan Mahmud Syah yang mendirikan kerajaan baru di Johor dengan nasihat para ulamaknya, telah melancarkan empat serangan balas ke atas Portugis antara 1512M hingga 1523M. Laksamana Hang Nadim pula menbuat dua serangan antara pada 1516M dan 1524M untuk membebaskan Melaka, tetapi gagal. Beberapa siri serangan ke atas Melaka juga dibuat oleh Demak, Ceribon, Japara, Champa, Siak dan Aceh untuk merampas semula negeri tersebut dari Portugis tetapi tidak berjaya. Sejak itu, Melaka terus dikuasai oleh Portugis sehingga tahun 1641M, sebelum ia jatuh ke tangan Belanda.

Jihad Ulamak Yang Dilupakan

Demikian itulah perjuangan Maulana Sadar Jahan dalam mempertahankan Melaka pada 1511M. Walaupun beliau berbangsa Arab dan bukan orang Melaka, tetapi kerana kesedaran terhadap jihad mempertahankan negara Islam, beliau telah berada di barisan hadapan perjuangan. Setelah berundur ke Muar, serangan-serangan jihad masih dilancarkan sehingga Sultan Mahmud Syah kembali berkuasa di Johor setelah membunuh Sultan Ahmad Syah pada 1513M kerana murka di atas kegagalan merampas semula Melaka. Sejak itu, Maulana Sadar Jahan tidak lagi berpengaruh dalam Istana Johor-Riau, dan tiada catatan lanjut tentang beliau setelah itu. Namun perjuangan dan sumbangannya dalam mempertahankan Melaka sewajarnya dikenang.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
1 Ramadhan 1441 / 24 April 2020a