Home Artikel PAS Sabah

MAT Muslimat Kalabakan Medan Muhasabah Gerakkerja

320
SHARE

Oleh : Suziana Ghani
27 Februari 2020

KALABAKAN : Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Muslimat PAS Kalabakan (DMPKK) kali ke – 9 telah berlangsung dengan jayanya di sini Ahad lepas sebagai satu medan koreksi dan muhasabah pergerakan DMPKK sepanjang sesi 2019.

Dalam ucapan perasmian Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Salamiah Mohd Nor mengucapkan tahniah kepada DMPK Kalabakan kerana menjadi kawasan pertama mengadakan MAT di Malaysia pada tahun ini.

Ustazah Salamiah yang juga merupakan Ketua Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan DMPM, mengingatkan semua ahli agar menitikberatkan tentang pengukuhan tarbiyah, membentuk keluarga haraki dan memperkasakan jemaah dari segi kepimpinan, organisasi dan keahlian.

Dalam ucaptama Ketua DMPK Kalabakan, Wardah Jeffry menekankan tentang memperkasakan tanzim dan mempersiapkan diri agar menjadi muslimat AKIFI yang sentiasa menjaga amalan rohani dan berakhlak mulia dengan masyarakat.

MAT DMPK Kalabakan kali ini diserikan dengan penyampaian tiga anugerah khas iaitu Anugerah Saidatina Khadijah yang disandang oleh Salmiah Mohideen, Anugerah Ummu Asma’ oleh Umee Suziana Abd Ghani dan Anugerah Saidatina Aisyah disandang oleh Nurul Hazimah Lanus.

Kriteria penganugerahan ini berdasarkan komitment tinggi dalam setiap amanah yang diberikan dan mengikuti semua proses pentarbiyahan di peringkat negeri, kawasan, dewan dan cawangan.

Bezanya untuk anugerah Ummu Asma’, ahli tersebut bersikap inovatif dan kreatif dari sudut merangka gerja kerja atau program dan bersifat dinamik serta proaktif manakala anugerah Saidatina Aisyah lebih fokus kepada muslimat muda yang berpotensi menjadi pelapis kepimpinan DMPK dan mampu menarik muslimah muda untuk bersama menggerakkan jemaah.

Turut hadir semasa majlis perasmian, Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan DMPM, Ustazah Nor Hasdillah Mohd Hasim, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Hajjah Chaya Haji Sulaiman bersama rakan memeriahkan majlis sebagai tanda persahabatan Muafakat Nasional.