Home Rencana PAS Kelantan

Masjid Kampung Laut kembali ke tapak asal, bagai sirih pulang ke gagang

352
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan ialah salah satu inisiatif oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk mengekalkan tradisi kebudayaan di samping meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat, melalui peluang keusahawanan.

Setelah projek ini siap dan diserahkan, mercu tanda baharu ini akan dijenamakan semula sebagai “Laman Warisan Kampung Laut” dan berfungsi sebagai pusat warisan berusia 672 tahun (1349-2021) yang menjadi simbol keakraban agama Islam dengan budaya pemimpin dan rakyat Negeri Kelantan.

Selain itu, ikon ini akan turut berfungsi sebagai destinasi pelancongan warisan di Tumpat dan Kota Bharu khasnya dan Kelantan amnya.

Dua Komponen Utama

Menurut Pengurus Besar ECERDC, Dato’ Wan Mohd Hasnan Abdullah, Laman Warisan Kampung Laut mempunyai dua komponen utama iaitu Fasa 1, Laman Warisan Serunding Kampung Laut yang terdiri daripada sebuah kompleks Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang bakal menjadi pusat serunding Kampung Laut.

Laman Warisan mempunyai sembilan unit bengkel yang akan memberi manfaat kepada pengusaha serunding dan kuih tradisional Kelantan seperti kuih dodol dan kuih gelembung buaya manakala dua unit lagi akan menempatkan sebuah restoran dan kedai santai.

Manakala komponen kedua ialah Fasa 2 iaitu Laman Seni Kampung Laut yang mempunyai sebuah lagi kompleks PKS yang akan mempamerkan kraftangan tradisional Kelantan seperti wau, batik dan barangan perak.

Di Laman Seni juga ditempatkan Masjid Kampung Laut yang dipindahkan dari Nilam Puri ke tempat asalnya.

ECERDC merancang untuk mencalonkan Laman Warisan Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Masjid Kampung Laut sebagai Objek Warisan sebelum monumen tersebut dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO.

“Fasa 1 iaitu Laman Warisan Serunding Kampung Laut yang sudah siap pembinaannya pada 5 Jun 2021 akan diserahkan kepada pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) pada bulan September dan bakal dirasmikan pada Oktober nanti.

Laman Warisan Serunding Kampung Laut menempatkan pusat PKS makanan tradisional dengan aktiviti pemprosesan dan penjualan serunding oleh sembilan pengusaha serunding terkenal di Kampung Laut seperti Suzara Serunding dan RS Serunding yang popular sejak dulu dan tersohor hingga kini”, katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, Fasa 2 yang menempatkan Laman Warisan Seni Kampung Laut pula akan memartabatkan seni dan budaya negeri Kelantan melalui pembuatan dan aktiviti seni batik cop, tenunan songket dan kraftangan tempatan termasuk wayang kulit, wau sobek, serunai dan tongkat serta pertukangan perak. Kawasan ini juga akan menempatkan semula Masjid Kampung Laut di tapak asalnya.

“Proses pemindahan semula masjid tersebut berdekatan tapak asal (di dalam sungai) sudah 65 peratus siap. Manakala Laman Warisan Seni Kampung Laut yang menelan kos RM11.8 juta pula hanya tinggal 40 peratus sahaja lagi untuk diselesaikan. Fasa ini dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mac 2022”, jelasnya yang turut memaklumkan pemindahan dan pembinaan semula Masjid Kampung Laut menelan belanja RM1.18 juta merangkumi kos pemuliharaan dan bina semula masjid tersebut di bawah kendalian ECERDC.

Sejarah Asal Pembinaan Masjid

Kajian Mohd Rofa Ismail (2016) merekodkan dapatan berdasarkan catatan Persatuan Sejarah Kelantan, Sayyid Hussein Jamadil Kubra adalah pembina Masjid Kampung Laut bersama sembilan adik-beradiknya.

Sayyid Hussein Jamadil Kubro itu berketurunan Sayyid al-Alawiyah (bertemu hingga kepada Saiyidina Hussein cucu Rasulullah s.a.w.) anak dari bekas gabenor Sultan Muhammad Tugluq (Kesultanan Delhi) yang kemudian berkuasa di wilayah Deccan, Selatan India.

Salah seorang daripada adiknya yang popular bernama Sayyid Thanauddin atau Syeikh Saman (anak murid kepada Ibnu Hajar) atau dalam versi Sejarah Melayu dikenali sebagai Adi Putra, menjadi guru Hang Tuah – diutuskan oleh Kerajaan Uthmaniah untuk berdakwah ke Champa.

Sebelum sempat sampai, rombongan Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah menghadapi ujian yang besar daripada Allah SWT sehingga kapal yang mereka naiki hampir tenggelam di lautan.

Dalam keadaan getir Sayyid Hussein memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT supaya diselamatkan dan berikrar akan mendirikan sebuah masjid jika terselamat daripada bencana karam tersebut.

Lalu, Allah SWT mendatangkan bantuan dalam bentuk sekawan ikan kekacang yang berpusu-pusu berenang ke bahagian kapal yang mengalami kebocoran dan menyumbat diri pada lubang di badan kapal itu.

Dalam masa yang sama, sekawan ikan kekacang yang lain telah menolak kapal itu sehingga selamat mendarat di Kampung Laut di Tumpat, Kelantan.

Rombongan ulama itu terus bersujud dan bersolat sunat dua rakaat sejurus mendarat serta memenuhi ikrarnya dengan mendirikan Masjid Kampung Laut pada tahun 1349 Masihi.

Struktur Asas

Pada awal pembinaan, keluasan keseluruhan masjid tertua di Asia Tenggara tersebut hanya 400 kaki persegi yang ditegakkan tiangnya setinggi lapan kaki di dalam sungai berhampiran tebing.

Manakala, struktur asasnya hanya empat tiang menggunakan teknik ‘Tebuk Pasak‘ tanpa sepucuk paku dan tanggam yang menyangga bumbung tiga tingkat diperbuat daripada daun rumbia.

Berpindah ke Nilam Puri

Pada akhir abad ke-19, Masjid Kampung Laut menjadi pusat agama terpenting di rantau Nusantara dan diperbesar merangkumi bilik sembahyang tambahan, peran, serambi dan menara serta 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan itu.

Gaya pembinaan struktur tambahan juga masih mengekalkan kaedah seni pertukangan asal iaitu tebuk pasak dan tanggam juga, manakala atap rumbianya pula digantikan atap genting.

Malangnya, asas masjid itu lemah kerana dibina di tebing sungai menyebabkan masjid itu sering dilanda banjir kilat seperti banjir tahun 1926 atau ‘Bah Air Merah’ yang melemahkan lagi asas binaannya.

Selepas sekali lagi dilanda banjir teruk pada tahun 1966 yang menghanyutkan sebahagian masjid itu, dua tahun kemudian, Persatuan Sejarah Malaysia mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat.

Pada tahun 1968, masjid itu dirombak dan dipasang semula di Nilam Puri serta ditambah baik strukturnya dengan bantuan para tukang kraftangan Melayu Kelantan.

Kemudian, pada tahun 1988, masjid ini diperbaik lagi menjadikan kawasan binaan menjadi 5,254 kaki persegi (74 kaki x 71 kaki) iaitu 13 kali lebih besar daripada masjid asal dengan dilengkapi kemudahan moden seperti elektrik, air paip, tandas dan kawasan rehat serta tiang dan dindingnya juga dihiasi ukiran kayu

Bagai Sirih Pulang ke Gagang

Selama 52 tahun (1968-2020) berada di Nilam Puri, pemindahan semula Masjid Kampung Laut dari Nilam Puri ke tapak asalnya di Kampung Laut bermula 16 September 2020 adalah bagai sirih pulang ke gagang yang bermaksud kembali ke tempat asal (Sapinah Said, 2004: 1142).

Gagang ialah tangkai daun. Apabila daun sirih tanggal daripada gagang terpisahlah daun dan gagang.

Namun, jika sirih itu dicantumkan semula ke gagangnya, tentulah keadaan itu nampak sesuai dan elok dipandang seperti sedia kala.

Tangkai daun sirih yang diputuskan daripada pokoknya jika diletakkan semula pada bahagian asal pasti cacat celanya tidak kelihatan lagi.

Maka, alang-alang sirih sudah pulang ke gagang, penulis ingin mencadangkan supaya kawasan sekitarnya digelar Lanai Seni Sayyid Hussein Jamadil Kubra bagi mengenang pembina asal monumen sejarah tersebut.

Seperkara lagi, produk serunding atau sambal daging, ayam atau ikan yang sinonim dengan lokasi itu, moleklah kiranya dieja dengan ejaan sebenar iaitu “serondeng” kerana berdasarkan carian di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, serondeng bermaksud sejenis makanan (yang tahan lama) daripada siatan daging (udang atau ikan yang dihancurkan) yang dimasak bersama santan dan rempah-ratus sehingga kering.

Kesimpulannya, Projek Laman Warisan Kampung Laut bakal menambah bilangan lokasi ikonik baharu kepada Kelantan kerana dengan siapnya projek “signage” (paparan) era pentadbiran Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob ini diyakini dapat merancakkan industri pelancongan di Kelantan.

Disokong pula dengan pembinaan Jambatan Palekbang yang bakal menghubungkan Kampung Laut dengan Kota Bharu melalui jalan darat atau menggunakan teksi air atau bot penambang bagi menyeberangi sungai Kelantan umpama katalis pelengkap projek tersebut.

Rujukan
1. Mohd Rofa Ismail (Prof Madya Dr), Muzakarah Sultan Nazrin Muizuddin Shah – Kertas Kerja Baldatun Tayyibatun Wa Rabb Ghafur: Umat dan Kesultanan Melayu, 24 Januari 2016, Ipoh, Perak.

2. Sapinah Said. 2004. Kamus Peribahasa Melayu. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.