Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Masalah Sosial : Institusi Keluarga Semakin Parah

1333
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
Masalah Sosial : Institusi Keluarga Semakin Parah

1. Dalam kemeriahan umat Islam menyambut Syawal, masyarakat turut dikejutkan dengan pelbagai berita menyedihkan seperti bayi yang dicampak dari tingkat dua serta kes rogol anak yang melibatkan ayah tirinya sendiri.

2. Anak merupakan kurniaan serta amanah Ilahi. Atas alasan apa sekalipun, amanah ini perlu dijaga sebaik mungkin dan dididik menjadi generasi masa depan yang cemerlang.

3. Menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 115 kes buang bayi dilaporkan tahun lepas sepanjang 2017 dengan negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi.

4. Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Polis Diraja Malaysia Bukit Aman mendedahkan bahawa 89 peratus jenayah rogol di seluruh negara berlaku dalam rumah dan perogolnya dikenali mangsa sendiri.

5. Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang berat terhadap realiti isu masalah sosial yang semakin membimbangkan ini.

6. Islam menawarkan solusi terhadap permasalahan yang berlaku dengan mengubati dari akar sebelum menjalar serta mencegah sejak awal. Penerapan nilai-nilai Islam dan pengamalan cara hidup Islam secara menyeluruh serta tidak hanya ritual, mampu mendidik masyarakat dengan perilaku yang baik, bertanggungjawab serta memelihara batasan individu.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [Q:S. An-Nisa’: 59]

7. Selain itu, semua pihak juga perlu bergerak secara holistik termasuk kementerian yang terlibat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), di samping peranan ibu bapa serta guru yang membentuk acuan anak-anak. Pembentukan institusi keluarga yang menitikberatkan keseimbangan sahsiah serta didikan agama juga perlu diberi perhatian.

8. Dasar sistem pendidikan negara turut perlu disemak agar wawasan melahirkan generasi masa depan yang cemerlang akademik juga perlu seiring dengan kecemerlangan akhlak dan sahsiah diri.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Jun 2018 bersamaan 15 Syawal 1439