Home Minda Presiden

Masa Depan Islam: Isu-Isu Umat Dan Penyelesaiannya

276 views
SHARE

Minda Presiden PAS
MASA DEPAN ISLAM: ISU-ISU UMAT DAN PENYELESAIANNYA


Sesungguhnya agama ini tidak akan terpadam cahayanya, walau apa jua isu-isu yang membelenggunya. Agama Islam ini adalah cahaya Allah yang telah dijanjikan pemeliharaannya berdasarkan firman Allah S.W.T.:

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (32) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (33(

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”  (Surah At-Taubah: 32-33)

Allah mengulangi firman-Nya lagi dalam ayat yang lain:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (8) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (9(

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Surah As-Saff: 8-9)

Demikian itu, diumpamakan sesiapa yang hendak memadamkan cahaya matahari dan bulan, sesungguhnya adalah mustahil ia dapat menyekat jalan tersebarnya Islam sejauh mana sampainya malam dan siang. Sesungguhnya kita dapat melihat perkembangan Islam di negara-negara di bawah pengaruh penjajahan setelah kejatuhan khilafah yang menaunginya.

Gerakan-gerakan yang giat dengan dakwah Islam berusaha membeli gereja-gereja di Eropah dan Amerika sehinggakan terdapat peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan bagi menghalang penjualannya kepada orang-orang Islam. Namun, kita tidak pula mendapati sebuah masjid pun yang dijual dengan harga yang tinggi dan dilelong di negara-negara umat Islam.

Keruntuhan agama selain Islam telah menyaksikan kelahiran generasi baru dalam masyarakatnya yang tidak berpegang teguh atau mengamalkan agama mereka. Ideologi-ideologi ciptaan manusia di Timur dan Barat turut rebah bersama-samanya, bermula dengan kejatuhan Sosialisme, Komunisme dan keruntuhan Kesatuan Soviet, lalu berlakunya pembahagian negara-negara di Asia Tengah dan Eropah Timur. Di tengah-tengah runtuhan tersebut, muncul masyarakat Islam dari kalangan mereka. Kini bermulanya penghujung hayat bagi Liberal Kapitalis yang bertapak di blok Barat suatu ketika dahulu.

Adapun umat Islam terus menghadapi pelbagai isu yang melingkunginya setelah runtuh khilafah dan munculnya era penjajahan melalui penguasaan politik, ekonomi, intelektual dan ideologi. Isu-isu ini terus menghantuinya selepas kemerdekaan dan keluarnya penjajah dari tanah air umat Islam.

Ini kerana kerajaan dan pemerintahan yang berkuasa ke atas negara dan rakyat tetap berpegang dengan cara penyelesaian yang diimport dari luar. Mereka tidak kembali kepada Islam kecuali hanya dengan slogan dan lambang. Sesungguhnya umat ini tidak akan dapat diperbaiki melainkan dengan cara yang dilakukan pada generasi awalnya sebagaimana ungkapan Imam Malik R.A. Sungguhpun kalimah ini bukanlah ayat-ayat al-Quran atau Hadis Nabawi, namun ianya terbit dari cahaya Islam yang tidak akan terpadam.

Sesungguhnya generasi awal umat ini bermula di Mekah dan Madinah. Padang pasir yang tidak mempunyai apa pun hasil bumi sebelum petroleum ditemui. Generasi ini bermula dengan pembentukan sahsiah yang beriman dengan agama ini, kemudian perlaksanaannya menjadi sempurna selepas tersebarnya Islam dan terbinanya daulah yang agung.

Perkembangan Islam juga terserlah dalam bidang ilmu keagamaan dan keduniaan bertitik tolak dari ilmu wahyu yang memberi hidayah dan hikmah. Ilmu-ilmu keduniaan ini diibaratkan seperti harta yang hilang dari tangan orang Mukmin, di mana jua ia ditemui maka ia berhak mengambilnya.

Agama Islam mula masuk ke hati-hati penduduk negeri yang sampai dakwah Islam dari Asia Tengah ke Asia Tenggara di Timur Jauh. Begitu juga agama ini tersebar di Timur dan Barat Afrika, juga dari Tengah Afrika hingga ke Selatan Eropah.

Islam memandu umatnya dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dari pelbagai bangsa, begitu juga ilmu-ilmu saintifik pada zaman itu. Eropah yang menganut agama Kristian pada ketika itu berada dalam kegelapan dan kejahilan sehingga lahirnya sekularisme dalam politik, ekonomi dan sains secara keseluruhan. Seterusnya muncul pula zaman penjajahan yang menyaksikan negara-negara umat Islam dicerobohi, dan memberi kesan kepada ketamadunan Islam sehingga lahirnya pula era Sekularisme Barat Moden.

Pembaharuan Demokrasi Barat adalah kesan dari sistem syura dalam Islam. Kerajaan-kerajaan Eropah sebelum itu tidak akan bertukar tampuk pemerintahan melainkan dengan pemberontakan bersenjata seperti berlaku di Perancis, Britain, Rusia dan Amerika yang mengorbankan nyawa berjuta rakyat.

Kenyataan ini amat berbeza sekali dengan Pembukaan Kota Mekah dan pembukaan-pembukaan kerajaan Islam yang penuh dengan keadilan, kebebasan serta pemeliharaan hak-hak umat Islam dan bukan Islam di negara-negara Islam.

Umat Islam juga pernah menguasai bidang ekonomi dan sains teknologi. Apabila Barat memulakan ekspedisi jalan laut seperti pengembaraan Vasco da Gama dan Marco Polo ke Timur Jauh, seterusnya gerakan penjajahan Kristian mula mengambil peluang atas kelemahan pemerintah umat Islam yang tidak berpegang dengan ajaran agama dan meninggalkan asas-asas dan rukun-rukunnya. Begitu juga tertutupnya pintu ijtihad dalam ilmu-ilmu syarak serta tersebarnya pengaruh taasub mazhab dalam kalangan umat Islam hingga lahir fanatik yang melampau serta kejatuhan khilafah dengan perantaraan tangan-tangan mereka dan musuh-musuh yang menanti peluang.

Akhirnya, kita melihat peluang untuk kemerdekaan dan kebebasan dari kuasa penjajahan Barat beragama Kristian dan Sekular. Namun, dunia Islam terkesan dengan perang pemikiran dan intelektual.

Di sebalik ramainya umat Islam, namun mereka hanya ibarat buih-buih yang hanyut dibawa arus. Begitu juga kelemahan kedudukan politik dan ekonomi serta intelektual. Sekalipun kiblat solat mereka masih lagi menghadap ke Baitullah di Mekah dan bilangan jemaah haji dan umrah juga sangat ramai. Akan tetapi kiblat politik, ekonomi dan intelektual mereka adalah Rumah Putih di Washington atau Kremlin di Moscow. Walaupun Allah S.W.T. telah mengurniakan bumi umat Islam dengan kekayaan hasil galian, tanaman dan sumber manusia serta kedudukan geografi yang strategik di tengah-tengah jalan perdagangan antara benua-benua.

Oleh kerana itulah, kita mesti merujuk kepada teori yang dikemukakan oleh Almarhum Profesor Necmettin Erbakan yang telah membentuk gabungan lapan buah negara (D8) untuk mewujudkan usaha sama sehingga lahirnya kesatuan Islam. Idea dan fikrah ini mestilah disebarkan demi mengukuhkan akidah Islam dari sudut rukun-rukun dan asas-asasnya serta pembaharuan dalam pengamalan syariat dengan membuka pintu ijtihad dalam kalangan ulama yang pakar dalam ilmu-ilmu agama untuk mencadangkan penyelesaian secara Islam dalam proses pengislahan umat. Begitu juga pakar-pakar dalam bidang kontemporari yang sebahagiannya tinggal di negara-negara umat Islam, Eropah dan Amerika. Bahkan terdapat antara mereka yang didiskriminasikan oleh para pemerintah di negara-negara mereka sendiri.

Kita memerlukan kepada Manhaj Wasatiy (pendekatan sederhana) dalam memahami ajaran-ajaran Islam kerana dalam kalangan kita ada yang terlalu bermudah-mudah dan ada pula yang terlalu keras dalam beragama.

Golongan yang bermudah-mudah ini mengemukakan ajaran-ajaran Islam yang terkesan dengan teori-teori asing sehingga sampai kepada pemikiran liberal yang menghalalkan perkara yang haram serta mengharamkan perkara yang halal dalam perspektif politik, ekonomi dan ilmu.

Manakala golongan yang terlampau keras pula, mereka bersungguh-sungguh menentang saudara seagama mereka melebihi penentangan mereka terhadap musuh-musuh agama sehingga mereka mengambil kesempatan dari semangat keagamaan tersebut untuk mengangkat senjata bagi memerangi tanah air dan umat Islam yang tenggelam dalam lautan kejahilan, sehingga mengabaikan negara musuh iaitu Israel dan negara musuh selainnya seperti Myanmar.

Di sinilah perbezaan di antara jihad ilmu dan memupuk kesedaran Islam dalam kalangan umat Islam berbanding jihad menghadapi musuh-musuh yang bukan dari kalangan umat Islam dan tanah airnya.

Sesungguhnya Allah S.W.T. membangkitkan dalam kalangan umat ini pada setiap 100 tahun, orang yang membawa pembaharuan (tajdid) dalam urusan agamanya.

Kini sudah berlalu 100 tahun apa yang disebut sebagai ‘The Great Arab Revolt’ yang telah menyebabkan kejatuhan Khilafah Islam. Oleh itu, wajiblah kita melazimi jemaah Islam dan kumpulan umat Islam yang tidak putus-putus berpegang teguh dengan agama ini. Malah mereka tidak dimudaratkan oleh orang-orang yang ingin menjatuhkan mereka hingga datanglah Hari Kiamat.

Oleh kerana inilah, kita meyakini bahawa masa depan itu adalah milik Islam serta perlunya mengetengahkan penyelesaian Islam yang wasatiyah.

Firman Allah S.W.T.:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Surah al-Baqarah: 143)

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ (46) فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ (47(

Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkir janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya).” (Surah Ibrahim: 46 – 47)

Sesungguhnya Allah S.W.T. akan memenangkan mereka yang memenangkan agama-Nya dan sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Gagah lagi Maha Agung. Akhirnya doa kami, segala puji adalah milik Allah Tuhan Sekalian Alam.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 7 Rabiul Awwal 1440 / 16 November 2018

(Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Bahasa Arab, di hadapan lebih seratus ahli akademik, ahli politik, pemimpin masyarakat dan mahasiswa di Ankara, Turki pada 7 November 2018, sempena Program Syarahan Perdana bertajuk “Masa Depan Islam”, yang dianjurkan oleh Economic and Social Researches Centre (ESAM), sebuah badan pemikir terkemuka di Turki yang meneruskan legasi Al-Marhum Profesor Necmitten Erbakan)