Oleh: SHAHERAWATI JUSOH
INDERA MAHKOTA, 30 Okt. :: Perayaan Deepavali tahun ini bakal disambut meriah oleh masyarakat India setelah ‘kabus’ COVID-19 yang sekian lama berada di persekitaran kita berlalu pergi meninggalkan fasa endemik.
Program Memasak Maruku Perpaduan yang dianjurkan oleh NGO Persatuan India Prihatin disambut baik oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Andasura Rabu dan Ketua Pemuda PAS Indera Mahkota, Ustaz Zulfadhli Zakaria.
Pengerusi persatuan tersebut, Kalavathi a/p Mariappan berkata, telah menjadi tradisi juadah maruku disediakan setiap kali perayaan Deepavali namun kali ini lebih meriah apabila YB Andansura Rabu mengambil peluang membuat sendiri maruku untuk diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk hari raya mereka nanti.
“Saya amat berbesar hati YB Andansura sanggup meluangkan masa emasnya bersama memasak maruku serta menyantuni masyarakat India di sekitar DUN Beserah sambil menyerahkan kuih-muih hari Deepavali dan barangan dapur,” katanya yang mengetuai program memasak maruku tersebut.
Andansura ketika ditemui berharap agar lebih banyak lagi NGO dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk menyantuni masyarakat India bagi memastikan tiada siapapun yang tertinggal dari menikmati kemakmuran negeri Pahang dari semua aspek terutamanya dalam kebajikan.
Satu lagi NGO yang membantu dari segi kewangan untuk program ini ialah Srikandi Sejahtera Kuantan yang turut menyumbang dana kepada program tersebut.
“Menepati konsep Keluarga Malaysia, NGO kami berharap sumbangan ini dapat meneruskan tradisi pemberian kuih muih tradisional masyarakat India seperti laddu, maruku dan halva yang juga mendapat permintaan dari orang Melayu dan Tionghua disekitarnya,” ujar Pengerusi Srikandi Sejahtera Kuantan, Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh.
Sebanyak 400 set kuih muih tradisional masyarakat India akan diagihkan sempena hari Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi.