Home Berita PAS Sarawak

Marilah Kita Mencari Keredaan Malam

478
SHARE

Sudah menjadi amalan Nabi Muhammad s.a.w. berjaga untuk mengerjakan ibadat sebanyak mungkin pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.

Jika amalan itu tidak dilatih daripada awal Ramadan sudah tentu menjadi kepayahan kepada kita yang sebelum ini tidak membiasakan diri bangun di tengah malam mengerjakan ibadat.

Bagaimanapun, mereka yang melakukan “amalan bangun malam” ini di sepanjang hidupnya dan di awal Ramadan sudah tentu memudahkan mereka bangkit di tengah malam bahkan secara tidak langsung ia sudah menjadi kebiasaan.

Kalau tidak diamalkan daripada awal memang susahlah, sebab di akhir-akhir baharu hendak buat. Semua pergerakkan kita samada hendak bangun malam mesti ada pertolongan daripada Allah SWT juga.

Jika kita bersungguh-sungguh mencari keredaan malam tersebut , sudah tentu Allah SWT akan mempermudahkan hambanya supaya mudah bangun apatah lagi jika ada rezeki bertembung dengan malam Lailatul Qadar.

Tetapi, kalau kita tidak bersungguh-sungguh daripada awal takkan Allah SWT memudahkan rezeki itu begitu sahaja walaupun rezeki itu Allah yang tentukan.

Begitupun juga, kalau di akhir-akhir Ramadan baharu hendak kejar semata-mata 10 malam terakhir, kesan dan nilainya agak kurang. Takkanlah kita beribadat hanya untuk mengejar Lailatul Qadar semata-mata.

Tidak dinafikan ramai di kalangan umat Islam berat untuk mengerjakan ibadat malam kerana kurangnya tarikan dalam melakukan ibadat itu.

Justeru, kita sendiri kena faham mengapa kita digalakkan untuk mencari keistimewaan 10 malam terakhir kerana ia dikira sebagai malam kemuncak segala amalan-amalan kita.

Kita kena ingat bahawa 10 malam terakhir itu di mana al-Quran diturunkan di penghujung Ramadan iaitu pada 27 Ramadan.

Di penghujung Ramadan ada keberkatan, kalau 10 malam terawal dipanggil malam pengampunan, di pertengahan dikira kasih sayang Allah SWT dan di akhir terlepas daripada siksa neraka, maka di sinilah kemuncaknya.

 

Cikgu Shokri b Hj.Fauzi
4 Jun 2017.

 

{jathumbnail off}