Home Artikel PAS Sabah

Mangsa ribut Kampung Forest terima sumbangan PAS

423
SHARE

Oleh : Rosmah Rahman

14 Disember 2019

SANDAKAN : Mangsa ribut Kampung Forest mendapat perhatian PAS Sandakan apabila parti berkenaan tampil pagi tadi menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa.

Sumbangan yang diserahkan di rumah-rumah mangsa di kampung berkenaan, di sini diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid yang turut disertai oleh Ketua Pemuda PAS Sandakan, Ramlan Pandi.

Menurut Sahar, walaupun pihaknya hanya parti pembangkang di negeri ini, ia bukan halangan untuk mereka tampil menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh mangsa.

“Walaupun kejadian sudah berlarutan beberapa minggu, saya merayu orang ramai untuk hadir sendiri menemui mangsa bagi menyampaikan bantuan,” seru Sahar yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Sandakan.

Hal ini kerana menurutnya masih ramai lagi mangsa yang belum mampu membaiki rumah yang rosak secara sempurna memandangkan kerosakan dihadapi amat besar.

“Pihak kami juga merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang sebelum ini telah tampil menghulurkan bantuan kewangan dalam kempen derma yang kami lancarkan sebelum ini,” tambah Sahar.

Dalam kejadian pada 28 November lalu kira-kira jam 4.30 petang itu, sebanyak 29 buah rumah rosak termasuk sebuah masjid dan dilaporkan tiada penduduk mengalami kecederaan.