Home Berita PAS Pahang

Mangsa ribut disantuni Muslimat PAS

62
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 30 Julai :: Seramai dua puluh sembilan mangsa ribut di Chendor, Cherating dan Sungai Ular telah menerima bantuan dari Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota pada hari ini.

Sumbangan dalam bentuk wang tunai adalah hasil kutipan dari orang ramai dan juga dari Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM).

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat Indera Mahkota Azmoni Mohamad berkata “Kita telah membuat kutipan dari orang ramai yang bersimpati di atas kejadian tersebut.

“Ada di antara mereka yang telah terjejas pendapatan, hilang pencarian dalam keadaan negara yang sedang menghadapi wabak Covid 19, kita harapkan dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka”.

Sumbangan kepada mangsa telah disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota Salwani Salleh.

Kejadian ribut telah melanda di kawasan berkenaan pada minggu lepas sekitar jam 1 pagi yang melibatkan 24 buah rumah di Sungai Ular, 3 di Cherating dan 2 di Chendor.

Sementara itu seorang mangsa Nor Ulkhamisah Mohd Razi menceritakan bahawa kejadian ribut telah melanda rumahnya dua kali bagi tahun ini, dan sebelum itu pada tahun 2014.

“Pada tahun 2014, keadaan rumah saya sangat uzur, agak sukar untuk memanjat untuk menggantikan atap rumah yang telah tercabut kerana papan telah buruk.

“Alhamdulillah dengan bantuan ADN Beserah YB Andansura Rabu rumah saya telah dibaiki keseluruhannya, hasil dari sumbangan orang ramai.

Menurut Nor Ulkhamisah, rumah yang didiami selama dua puluh tahun bersama keluarganya berhampiran dengan pantai, agak terdedah dengan kejadian tersebut.

Beliau yang bekerja sebagai Guru KAFA merasa bersyukur dengan sumbangan yang diterima kerana dapat mengurangkan bebanan keluarganya dan memuji sikap prihatin ADN Beserah, Kerajaan Negeri dan Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota serta NGO yang segera memberi bantuan bila berlaku kejadian tersebut.