Home Kenyataan Media PAS Perlis

Manfaatkan Dana Masjid Untuk Kebajikan Anak Kariah

239
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PERLIS
MANFAATKAN DANA MASJID UNTUK KEBAJIKAN ANAK KARIAH

1. Pandemik COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) telah memberi kesan ke atas kehidupan serta sosio-ekonomi rakyat.

2. Justeru, melihat kepada kesusahan yang terpaksa ditanggung rakyat khususnya di negeri ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis mencadangkan supaya duit simpanan masjid dimanfaatkan untuk tujuan kebajikan anak kariah masing-masing.

3. Antara program yang boleh dilaksanakan termasuklah menubuhkan “Food Bank” di masjid-masjid. Menerusinya, golongan yang terputus bekalan makanan boleh mendapatkan bekalan makanan di masjid berhampiran mereka.

4. Selain itu, dana masjid juga boleh digunakan bagi menyediakan kemudahan internet komuniti secara percuma bagi membantu meringankan beban para pelajar yang kini mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

5. DPPNPs juga ingin mencadangkan pihak masjid memperuntukkan sebahagian daripada dana masjid untuk disalurkan kepada anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan agar kebajikan mereka sentiasa terbela.

6. Besarlah harapan kami untuk melihat masjid dapat memainkan fungsinya sebagai sebuah institusi yang mengutamakan kebajikan rakyat khasnya dalam situasi yang amat mencabar pada ketika ini.

Yang benar,

MUHAMMAD AZMIR BIN AZIZAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis
16 Februari 2021 | 4 Rejab 1442H