Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Malaysia Mesti Membela Etnik Uighur

952
SHARE

Malaysia Mesti Membela Etnik Uighur

Dewan Muslimat PAS Malaysia mengikuti rapat isu penindasan komuniti Muslim Uighur dan menegaskan bahawa sudah tiba masanya, Malaysia terkehadapan membela etnik Uighur sebagaimana Malaysia terkehadapan dalam mengangkat isu Palestin. Malah Malaysia mampu konsisten dalam isu Palestin hatta di pentas antarabangsa dengan pendirian yang berlawanan kuasa besar dunia.

Kumpulan pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menyifatkan kekejaman yang berlaku di Xinjiang berada pada tahap yang cukup teruk dan memerlukan campur tangan daripada pihak antarabangsa. PBB pula mendesak akses terhadap kem konsentrasi yang melakukan perlanggaran hak asasi ke atas hampir satu juta etnik Uighur dengan bermodalkan alasan mendidik mengenal budaya China.

Diplomasi dengan China tidak seharusnya mencairkan ketegasan Malaysia dalam menentang kezaliman penghapusan etnik, yang tidak mungkin disembunyikan lagi dari pengetahuan manusia yang mengangkat hak asasi manusia.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat al-Bukhari).

Marilah kita sebarkan gelombang kesedaran mengangkat isu Uighur sebagai satu usaha membebaskan saudara-saudara kita daripada kezaliman berpanjangan.

Saudari Husna Hashim
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Dewan Muslimat PAS Malaysia
6 Zulkaedah 1440 bersamaan 9 Julai 2019