Home Berita PAS Terengganu

Majlis Walimatul Urus Perdana kembali beraksi

317
SHARE

KUALA TERENGGANU – Tradisi perkahwinan beramai-ramai secara percuma atau Majlis Walimatul Urus Perdana yang dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu kembali diteruskan pada September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, berkata majlis akad nikah dan resepsi dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu bertujuan membantu meringankan bebanan ahli keluarga yang tidak berkemampuan selain memudahkan proses perkahwinan.

Katanya, pasangan yang dipilih menyertai program itu tidak perlu mengeluarkan kos, sebaliknya semua peruntukan disediakan kerajaan negeri.

“Bagi pasangan daripada kalangan ibu atau bapa tunggal layak menerima insentif sebanyak RM1,000.00 setiap seorang.

“Dan juga kepada pasangan yang berminat dan layak akan diberikan  pinjaman modal perniagaan maksima RM20,000.00 di bawah Program Jaya Diri (PJD) YPKT,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi.

Tambah beliau lagi, bakal pengantin lelaki berusia 45 tahun ke atas dan pengantin perempuan berusia 40tahun keatas dikecualikan mengikuti kursus Pra Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Perkahwinan Islam (MBKPI) kendalian Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu.

Sementara itu, Hanafiah turut berkata  program yang dilaksanakan sejak tahun 2016 sehingga 2019 telah berjaya memanfaatkan 1,167 pasangan.

“Pada tahun 2020 dan 2021 program ini ditangguhkan atas faktor pendemik COVID-19 dan kini kembali beraksi setelah sekian lama berehat,”ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan perkahwinan untuk rakyat Terengganu ini juga, sila layari laman web rasmi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di alamat https://www.ypkt.gov.my/index.php/ms/walimatulurus-perdana