Oleh: Muhammad Hadi.
ARAU : Bertempat di Balai Islam MADI, telah berlangsung Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Arau, pada 12 November 2017.
Seramai 225 orang murid daripada 12 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dalam kawasan Arau telah diraikan dalam majlis kali ini.
Acara perasmian telah disempurnakan oleh Russele Eizan, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perlis yang juga TYDP PAS Kawasan Arau.
Dalam ucapannya beliau mengingatkan para ibu bapa akan peri pentingnya sistem pendidikan Islam dalam menjamin masa depan anak-anak.
Ujarnya, atas faktor inilah, PAS turut mengambil tanggungjawab menyediakan prasarana dan sistem pendidikan berteraskan Islam kerana ingin melihat generasi yang akan mewarisi negara pada masa yang akan datang adalah generasi yang dididik dengan acuan al-Quran dan as-Sunnah.
Beliau turut menyarankan agar para waris terus istiqamah dalam membentuk dan mendidik anak-anak setelah mereka meninggalkan sistem pendidikan PASTI nanti.
Sempena majlis konvokesyen kali ini, dua orang pelajar telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik PASTI Kawasan Arau iaitu Dayyan Ifwat Mohd. Fikry Hidayat daripada PASTI Al-Huda, Pauh Putra bagi kategori umur 5 tahun dan Muhd. Danial Amsyar Mohd. Izam daripada PASTI Al-Furqan, Taman Pauh Indah (Kategori Umur 6 Tahun).