Home Berita PAS Sarawak

Majlis Ihtifal PASTI Catat Sejarah Di Batang Lupar

1103
SHARE

PUSA, 11 NOV 2017PASTI Kawasan Batang Lupar telah mencipta sejarah tersendiri dengan berlangsungnya Majlis Ihtifal PASTI Kawasan Batang Lupar buat kali pertamanya. Majlis Ihtifal ini merupakan gabungan daripada dua buah PASTI iaitu PASTI An-Naim, Pusa dan PASTI Fitrah Islam, Sebuyau. Wakil daripada kedua-dua buah PASTI tersebut iaitu Ustaz Wan Abdillah dan Puan Hamidah Mokhtar melahirkan rasa syukur dan terharu dengan berlangsungnya majlis ihtifal ini.

Majlis ini dihadiri oleh para tetamu seramai 70 orang yang melibatkan pihak pengurusan, ibu bapa, guru-guru dan tetamu jemputan yang lain. Manakala seramai 16 orang pelajar PASTI yang diraikan dalam majlis yang julung-julung kali diadakan ini, dan 4 orang pelajar yang berjaya bergraduasi. Majlis yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu dimeriahkan dengan penyampaian 6 anugerah khas daripada pihak pengurusan PASTI Batang Lupar serta 3 buah persembahan yang menarik daripada pelajar-pelajar PASTI. Antaranya ialah bacaan ayat-ayat suci Al Quran, beberapa hadis terpilih dan nyanyian lagu ‘Atouna Tufule’ yang menyentuh tentang nasib anak-anak Palestin.

Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, saudara Mohamad Arifiriazul Paijo dalam ucapan perasmiannya telah merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada para ibu bapa serta ajk pelaksana yang telah menjayakan majlis Ihtifal kali pertama ini. Beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi beberapa tips pendidikan anak-anak berdasarkan buku Tarbiyatul Aulad.

“Kita perlu mendedahkan anak-anak dengan al Quran dan Hadis, sirah nabi-nabi, para sahabat serta mengajarkan mereka tentang syariat islam sejak kecil lagi. Hal ini penting bagi mengukuhkan jiwa dan peribadi mereka bagi menempuh cabaran dunia hari ini”, kata saudara Arifiriazul lagi. Beliau turut mengimbas semula sejarah penubuhan PASTI Sarawak yang bermula dengan hanya sebuah PASTI pada tahun 2005 sehinggalah pada tahun 2017 ini telah berkembang menjadi 34 buah. Malahan pada tahun 2018 akan ada lagi 8 buah PASTI akan ditubuhkan

Awang Azwan, PAS Sarawak