Home Berita PAS Wilayah

Majlis Hi-Tea Dana PRU 14: Misi Menawan Lembah Pantai

1296
SHARE

LEMBAH PANTAI, 11 Mac 2018 – PAS Lembah Pantai terus mengorak langkah agresif bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Melihat keperluan pengundi wajar didedahkan dengan pencerahan yang sebenar, PAS Kawasan mengambil inisiatif mengadakan majlis Hi-Tea Dana PRU 14 sebagai medium memperkenalkan kekuatan PAS kepada masyarakat setempat.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 200 tetamu itu dimulakan dengan ucapan oleh para jemputan di samping selingan busking dakwah oleh Saudara Kamaruzzaman Hussin (Man John).

Berucap dalam kata-kata aluan, Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Dr Azhar Ariffin meletakkan keyakinan terhadap jentera kawasan yang sentiasa menyusun langkah proaktif dari semasa ke semasa.

“InsyaAllah dengan kerja kuat dan jentera yang baik, kita mampu menawan kerusi Lembah Pantai ini dengan menampilkan bakal calon penuh karisma iaitu Tuan Haji Fauzi Abu Bakar dalam pilihan raya umum nanti,” ujar beliau.

Memetik respon Tuan Haji Fauzi yang merupakan tokoh NGO juga aktivis masyarakat, beliau melihat PAS mempunyai potensi besar untuk memimpin selaku parti yang memegang rekod bersih serta memiliki produk-produk terkini bertepatan dengan keperluan semasa negara.

“PAS telah mengeluarkan WINS (Wawasan Induk Negara Sejahtera), Dokumen Hijau serta beberapa pakej yang disediakan oleh para pemikir PAS.

Ini menunjukkan kita bukan sekadar berbual kosong, tetapi telah melakukan pelbagai usaha ke arah membina Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.

Majlis juga berkesempatan melakukan pelancaran jentera penerangan PAS Kawasan yang disempurnakan oleh Dr Haji Mohd Khuzzaini Abd Rahman selaku Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan.