14 Februari 2022
Oleh: Ibnu Samad
TELUK INTAN: Usaha graduan pelajar PASTI yang telah berjaya menamatkan pengajian sehingga berumur 6 tahun dan lain-lain kejayaan terus dihargai oleh pihak penyelaras PASTI Kawasan Teluk Intan menerusi Majlis Anugerah Prestasi (MAP).
MAP PASTI Kawasan Teluk Intan yang berlansung di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) telah disambut dengan penuh meriah, baru-baru ini.
Penaung penyelaras PASTI Kawasan Teluk Intan, Azhar Rafiei berkata dalam ucapan perasmiannya pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar PASTI ini sewajarnya dihargai dan diraikan.
“Hari ini kita melihat, pelajar PASTI 5, 6 tahun sudah mampu menghafal surah Al-Mulk, berdiri hormat mengalunkan nasyid asma ulhusna, lagu Negaraku dan negeri Perak dan pelbagai lagi kejayaan yang telah dicapai oleh mereka.
“Ini semua adalah hasil usaha guru-guru PASTI yang mendidik anak kita menjadi anak-anak soleh,” ujarnya yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan.
Majlis yang penuh gilang gemilang itu telah dimulakan dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran surah Al-Mulk oleh pelajar PASTI Ibnu Sina, Muhammad Adwa’ Mujahid Mohd Syafiq.
Seramai 120 pelajar PASTI yang telah diraikan dengan pelbagai anugerah antaranya anugerah mumtaz murid 5 dan 6 tahun, anugerah tokoh mumtaz dan penyampaian sijil tamat persekolaan PASTI kepada semua graduasi PASTI yang berumur 6 tahun.