Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 30 Ogos: Program ‘Mai Ambik Ikan Free’ yang diadakan di Kampung Titi Tok Bandar dekat sini semalam, mendapat sambutan yang cukup hangat daripada penduduk setempat.
Tinjauan mendapati orang ramai hadir bagi mendapatkan bekalan ikan yang diagihkan secara percuma sejak awal pagi lagi.
Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis Mohd. Shukri Ramli, program berkenaan dianjurkan oleh Biro Pendidikan, Latihan dan Agama (BELA) UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Pertubuhan Anak Jati Perlis (JATI) dan International Khayr Ummah Foundation (iKAF).
“Rata-rata mereka yang hadir menyambut baik program yang dijalankan ini dan mereka amat berterima kasih kepada pihak penganjur atas agihan ikan secara percuma pagi ini.
“Bagi pihak PAS Negeri Perlis, saya juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak penganjur yang turut menjemput kami untuk sama-sama menjayakan program ini,” jelasnya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Pengerusi iKAF Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya yang ditemui menegaskan betapa pentingnya agenda penyatuan ummah yang telah dibina oleh PAS dan UMNO untuk terus dipertahankan.
“Insya Allah Muafakat Nasional akan terus dipertahan dan diperkukuh menerusi siri pertemuan dan program-program yang diadakan secara bersama seperti hari ini,” katanya.