Home Berita PAS Perak

Mahkamah Syariah Simbol Pengendalian Undang-Undang Islam Secara Adil | Bacalah Wahai Teman (33)

835
SHARE
Image may contain: 11 people, people standing and suit, text that says "Bacalah Wahai Teman MAHKAMAH SYARI'AH SIMBOL PENGENDALIAN UNDANG-UNDANG SECARA ADIL YB USTAZ MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN PENGERUSI JAWATANKUASA AGAMA ISLAM DAN PENERANGAN NEGERI PERAK"BACALAH WAHAI TEMAN (33)
Rabu, 18 November 2020
MAHKAMAH SYARIAH SIMBOL PENGENDALIAN UNDANG-UNDANG ISLAM SECARA ADIL
Islam merupakan agama yang sempurna, mencakupi semua bidang kehidupan manusia, antaranya termasuklah bidang kehakiman. Kehakiman merupakan satu badan yang sangat penting dalam kehidupan. la bertujuan untuk menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman sesama manusia. la bermula sejak awal kewujudan manusia iaitu zaman Nabi Adam AS lagi.
Firman Allah SWT :
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Bermaksud : “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau!” Tuhan berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui”. (Surah Al-Baqarah : 30)
Allah mengutuskan para nabi antara lain adalah untuk menyelesaikan perselisihan yang berlaku di kalangan umat manusia berdasarkan perundangan yang telah diturunkan oleh Allah melalui kitab-kitabNya.
FirmanNya :
كَانَ النَّاسُ اُمَّةً وَّاحِدَةً ۗ فَبَعَثَ اللّٰهُ النَّبِيّٖنَ مُبَشِّرِيْنَ وَمُنْذِرِيْنَ ۖ وَاَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيْمَا اخْتَلَفُوْا فِيْهِ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ فِيْهِ اِلَّا الَّذِيْنَ اُوْتُوْهُ مِنْ ۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَتْهُمُ الْبَيِّنٰتُ بَغْيًا ۢ بَيْنَهُمْ ۚ فَهَدَى اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لِمَا اخْتَلَفُوْا فِيْهِ مِنَ الْحَقِّ بِاِذْنِهٖ ۗ وَاللّٰهُ يَهْدِيْ مَنْ يَّشَاۤءُ اِلٰى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيْمٍ
Bermaksud : “Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi kabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus. (Surah Al-Baqarah : 213)
MAHKAMAH SYARIAH ERA KESULTANAN MELAYU
Di Zaman Kesultanan Melayu, keadilan telah dilaksanakan di Mahkamah Syariah dengan diadakan hak rayuan kepada Sultan. Keadaan ini kekal sebelum kedatangan kuasa-kuasa penjajah. Undang-undang Islam telah dilaksanakan di dalam semua bidang yang meliputi Undang-undang Keluarga, Jenayah, Undang-undang Tanah dan Mal.
Bermula daripada Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 hinggalah kepada penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, suatu ketetapan telah disepakati secara bersama bahawa segala perkara berhubung Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu hendaklah berada di bawah bidangkuasa Raja Melayu.
Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan yang telah diamalkan sehingga ke tahun 1900 tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh bermulanya pengukuatkuasaan undang-undang tersebut. Ia dipercayai telah mula dilaksanakan semenjak pemerintahan al-Marhum Sultan Idris Murshidul A’azam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar iaitu pada tahun 1887 hingga 1916.
TRANSFORMASI BALAI SYARA’ KE MAHKAMAH SYARIAH
Tanggal 21 Januari 1948, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Aziz Al-Mu’tasim Billah Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa menandatangani suatu perjanjian dengan Sir Gerard Edward James Gent merupakan pesuruhjaya Tinggi British/Gabenor Jeneral Malayan Union yang mewakili Kerajaan British. Perjanjian yang dinamakan sebagai Perjanjian Negeri Perak 1948 tersebut telah membawa kepada pembentukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Setelah kemangkatan Baginda Sultan Abdul Aziz Al-Mu’tasim Billah Shah pada 29 Mac 1948, takhta kerajaan Negeri Perak diwarisi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yussuf Izzudin Shah Ghafarullahulah Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Al-Mukhataram Karamatullah Shah. Pada masa pemerintahan Baginda Sultan Yussuf Izzudin Shah inilah, kerajaan negeri secara rasmi menubuhkan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak pada 1 Muharram 1369 Hijrah Bersamaan 23 Oktober 1949.
Maka dengan tertubuhnya Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak, Pentadbiran Balai Syara’ dan Komuniti Quran Perak yang berada di Kuala Kangsar ini telah disatukan di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak dipindahkan ke Ipoh.
Apabila Balai Syara’ telah dipindahkan pentadbirannya ke Ipoh dan menjadi Jabatan Hal Ehwal Agama Perak, maka Mahkamah Syariah diletakkan dalam Unit Kehakiman atau Unit Mahkamah dalam Pentadbiran Undang-undang Syariah yang diketuai oleh Sahibul Fadhilah Kadi Besar.
Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1965 berkuatkuasa mulai 1 Mei 1966. Struktur Mahkamah Syariah Perak telah disusun semula dengan penubuhan mahkamah yang baru mengikut bidang kuasa tertentu. Mahkamah-Mahkamah Kadi ditubuhkan di 16 wilayah iaitu Slim River, Tapah, Teluk Intan, Batu Gajah, Parit, Ipoh, Manjung, Kuala Kangsar, Lenggong, Gerik, Pengkalan Hulu, Taiping, Selama, Bagan Serai dan Parit Buntar.
Enakmen ini juga menjelaskan bahawa Kadi, Kadi Besar dan Ahli Jawatankuasa hendaklah dilantik oleh Yang Maha Mulia Sultan. Bidangkuasa Kadi atau Kadi Besar tidak dijelas di dalam mana-mana enakmen. Maka Mahkamah Kadi atau Kadi Besar adalah mempunyai bidangkuasa yang sama. Oleh itu, panggilan nama Mahkamah Kadi atau Kadi Besar lebih popular dengan nama Mahkamah Kadi berbanding Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syariah Perak yang diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Kehakiman Syariah Perak (JKSPk) ditubuhkan berdasarkan Seksyen 42(1) (2) (3), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak Tahun 1992. Sejak ditubuhkan hingga 30 April 1995, Jabatan Kehakiman Syariah Perak ditadbir bersama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Mulai 1 Mei 1995, Mahkamah Syariah telah dipisahkan daripada pengurusan Jabatan Agama Islam Perak dan mempunyai pentadbirannya sendiri. Jabatan ini diketuai oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie selaku ketua Hakim-hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak. Di bawah pentadbirannya terdapat 2 orang Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, seorang Ketua Pendaftar, 9 orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan sejumlah kakitangan sokongan.
Pada tahun 2006 Mahkamah Syariah telah berpindah ke bangunan baru. Bangunan ini dibina di Jalan Taman Pari, Off Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh yang digunakan sehingga ke hari ini.
BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH
Dalam menjalankan kuasa kehakiman, Allah SWT menyeru kepada para hakim Islam supaya menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan,
Firman Allah SWT;
سَمّٰعونَ لِلكَذِبِ أَكّٰلونَ لِلسُّحتِ ۚ فَإِن جاءوكَ فَاحكُم بَينَهُم أَو أَعرِض عَنهُم ۖ وَإِن تُعرِض عَنهُم فَلَن يَضُرّوكَ شَيئًا ۖ وَإِن حَكَمتَ فَاحكُم بَينَهُم بِالقِسطِ ۚ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ
Bermaksud : “Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan hukum), maka putuskanlah (perkara itu) diantara mereka, atau berpalinglah dari mereka; jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) diantara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.” (Surah Al-Maidah : 42)
Mahkamah Syariah Negeri Perak terdapat beberapa lapisan. Antaranya :
1. Mahkamah Rayuan Syariah
Mahkamah Rayuan Syariah adalah mahkamah tertinggi di dalam hierarki Mahkamah Syariah Negeri Perak. Bidang kuasanya mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah. Ahli panel terdiri daripada 5 orang yang dilantik oleh Duli yang Maha Mulia Sultan Perak atas nasihat Majlis Agama Islam setelah berunding dengan Ketua Hakim Syarie.
2. Mahkamah Tinggi Syariah
Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan. Di dalam kes-kes Jenayah, ia mempunyai bidang kuasa membicara dan menjatuhkan apa-apa hukuman bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam tidak lebih daripada RM 5,000.00, atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, dan sebatan yang tidak melebihi 6 kali sebatan.
Bagi kes Mal pula, Mahkamah Tinggi boleh mendengar dan memutuskan atau membuat apa-apa perintah berkenaan semua tindakan dan prosiding berkaitan Agama Islam atau Adat Melayu Perak termasuklah:
i. Pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh) atau perpisahan(faraq);
ii. Apa-apa pelupusan atau tuntutan kepada harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
iii. Nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;
iv. Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
v. Wasiat atau pemberian seseorang dalam keadaan maradhul maut;
vi. Hibah;
vii. Wakaf dan nazar;
viii. Pembahagian dan perwarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
ix. Menentukan orang-orang yang berhak mendaoat pembahagian harta pusaka seseorang si mati dan bahagian-bahagian orang itu masing-masing berhak; dan
x. Perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidangkuasa diberi oleh mana-mana undang-undang bertulis. 10 Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh di Aras 5, Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Kangsar dan Mahkamah Rendah Syariah di Aras 1
Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidangkuasa rayuan terhadap apa-apa kes yang mana Mahkamah Rendah Syariah berbidangkuasa mendengar dan memutuskannya. Ia juga mempunyai bidangkuasa mendengar apa-apa rayuan daripada mahkamah Rendah Syariah. Bagi kes Jenayah dan Mal bagi Mahkamah Rendah Syariah, dalam mana-mana rayuan, mahkamah Tinggi Syariah boleh:-
a- Dalam kes Jenayah : Menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan mahkamah perbicaraan memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda bentuk hukuman, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda, atau mengkhaskan apa-apa perintah Mahkamah Perbicaraan.
b- Dalam kes mal : Mengesahkan, mengkhaskan atau mengubah keputusan Mahkamah Perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah Perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah Perbicaraan atau memerintahkan perbicaraan semula.
3. Mahkamah Rendah Syariah
Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidangkuasa dalam sempadan tempatan (Zon) yang diberikan kepadanya. Di dalam kes jenayah, Mahkamah mempunyai bidang kuasa yang diperuntukkan hukuman maksimum adalah tidak melebihi RM 3,000.00, atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya. Manakala bagi kes Mal pula ia mempunyai bidangkuasa mendengar dan memutuskan di mana jumlah atau nilai perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi RM 100,000.00.
Terdapat Beberapa buah Zon Mahkamah Rendah dan tinggi Syariah di negeri Perak iaitu:
1. Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Aras 1 dan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh di Aras 5
2. Mahkmah Rendah dan Tinggi Syariah Kuala Kangsar
3. Mahkamah Rendah Syariah Taiping
4. Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah Gerik
5. Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah Manjung
6. Mahkamah Rendah Syariah dan Tinggi Teluk Intan
7. Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah Tapah
8. Mahkamah Rendah Syariah Seri Iskandar
9. Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah Parit Buntar
PENUBUHAN MAHKAMAH UTAMA SYARIAH
Duli Yang Maha Mulia Paduka seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah bertitah semasa Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas pada 6 Ogos 2018 lalu :
“Struktur Mahkamah Syariah pada masa ini, memberikan hanya satu lapisan rayuan kepada kes-kes yang perbicaraan atau pendengarannya bermula di Mahkamah Tinggi Syariah. Demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, Beta telah menitahkan, agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah di negeri Perak. Satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentangi untuk diluluskan di dalam Dewan Negeri Perak di dalam Perak menjadi negeri pertama yang mewujudkan Mahkamah Utama Syariah, peringkat ke empat mahkamah syariah selepas Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah”
Menyambut hasrat dan aspirasi titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, pentadbiran Mahkamah Utama Syariah (MUS) diwujudkan dan antara lain bertujuan mempertingkat serta memperkasa struktur, urusan pentadbiran dan kredibiliti institusi kehakiman syariah di Negeri Perak.
Cadangan pindaan telah dibuat kepada seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dengan memperuntukkan penubuhan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan Syariah yang dikenali sebagai Mahkamah Utama Syariah ketika pembentangan Rang Undang-undang Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Dewan kemudiannya meluluskan enakmen itu selepas dibahaskan oleh beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri daripada kerajaan dan pembangkang.
Sejarah tercipta di dalam sistem perundangan syariah negara apabila Mahkamah Utama Syariah (MUS) Perak bersidang untuk kali pertama pada 16 Julai 2020 yang dibarisi tiga panel hakim, dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid, mantan Presiden Mahkamah Rayuan Persekutuan, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin, dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam mendengar permohonan kebenaran merayu membabitkan kes harta sepencarian.
PRESTASI JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PERAK (JKSNPk)
Menurut laporan pendaftaran kes tahun 2018 bagi kes mal sebanyak 9762 kes, kes jenayah 2056 kes dan faraid 888 kes. Keseluruhan 12706 kes telah didaftarkan. Manakala, laporan kes diselesaikan adalah mal sebanyak 8016 bagi kes mal, kes jenayah 1692 kes dan kes faraid sebanyak 870 kes. Daripada jumlah yang didaftarkan, sebanyak 10578 kes telah diselesaikan dalam tahun 2018, atau pencapaian sebanyak 83 peratus.
Manakala pada tahun 2019, laporan keseluruhan pendaftaran bagi kes tahun 2019 bagi kes mal sebanyak 9694 kes, kes jenayah 2515 kes dan faraid 853 kes. Keseluruhan 12663 kes telah didaftarkan. Manakala, laporan keseluruhan kes diselesaikan adalah mal sebanyak 7932 kes, kes jenayah 1841 kes dan kes faraid sebanyak 831 kes. Daripada jumlah yang didaftarkan, sebayak 10604 kes telah diselesaikan dalam tahun 2019 atau pencapaian keseluruhan sebanyak 83 peratus.
Berdasarkan prestasi selama dua tahun lalu yang dilaporkan jelas keupayaan pegawai dan kakitangan JKSNPk dalam mengendalikan kes sangat memberangsangkan dan boleh ditambah baik pada masa yang akan datang.
KEMUDAHAN PERMOHONAN CERAI SECARA ONLINE
Perceraian adalah putusnya suatu ikatan perkahwinan yang sah di hadapan Hakim Pengadilan berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan undang-undang. Di dalam Agama Islam, perceraian adalah jalan yang terakhir dan merupakan sesuatu yang amat tidak disukai oleh Islam, namun dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Perceraian boleh dilakukan dengan cara talak, fasakh dan khuluk atau tebus talak.
Apa yang menariknya, secara tidak lansung dengan pelaksanaan sistem ini, telah menjadikan Perak antara negeri pertama yang memperkenalkan aplikasi permohonan cerai secara dalam talian yang dikenali sebagai MySolve dan ianya adalah yang pertama di dunia. Sistem ini bukan untuk menggalakkan pasangan suami isteri bercerai, tetapi sebagai pemudah cara bagi sesiapa sahaja untuk menyelesaikan masalah rumahtangga yang berbangkit.
Menerusi sistem MySolve yang dibangunkan ini, pasangan bermasalah yang ingin mendaftarkan perceraian tidak perlu lagi datang ke Mahkamah Syariah berulang kali kerana semua maklumat berkaitannya sudah disimpan dan direkodkan di dalam sistem selepas permohonan mereka dibuat. Bagi yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini boleh mengakses menerusi mysolve.perak.gov.my melalui komputer atau telefon mudah alih.
INOVASI PEMBAYARAN SECARA ELEKTRONIK (E-PAYMENT)
Mahkamah Syariah Negeri Perak menjadi yang pertama dalam negara melaksanakan kaedah pembayaran secara elektronik (e-Payment) bagi memudahkan orang ramai melakukan pembayaran sekali gus mengurangkan aliran tunai.
Menurut Datuk Asa’ari Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, inisiatif dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad itu yang merangkumi pelbagai kategori termasuk pendaftaran kes dan pembayaran denda yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2020 untuk perkhidmatan orang ramai dan peguam. Selain kad kredit dan debit, pembayaran juga boleh dibuat oleh orang ramai melalui aplikasi Merchant Terminals, SnapNPay dan JomPAY.
CADANGAN DAN HARAPAN
1. Mahkamah Syariah hendaklah dibuktikan kebebasannya dalam pelaksanaan kuasa dan fungsinya. Di samping itu, amat terbuka kepada para cendiakawan dan pakar undang-undang khususnya di Negeri Perak ini untuk merangka peruntukan yang boleh menjamin dan melindungi kebebasan kehakiman di Mahkamah Syariah.
2. Umum sedia maklum berhubung Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 masih belum dapat dilaksanakan. Ianya kini dalam fasa penelitian di peringkat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan akan dibentangkan mengikut tertib dan kerangka Perlembagaan Persekutuan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah mengatakan,
“Insyallah RUU 355 akan direalisasikan sebelum saya mati, maka saya juga sangat optimis dengan meletakkan keyakinan para pencinta undang-undang Islam di dewan rakyat akan memperjuangkan perkara ini sehingga dapat direalisasikan”. Amin.
3. Mahkamah Syariah mempunyai peranan yang amat besar dalam memastikan keamanan dan keadilan masyarakat. Matlamat penubuhan mahkamah adalah untuk menyedia dan melaksanakan perkhidmatan pengadilan mengikut undang-undang Islam secara adil, cekap dan berkesan berlandaskan hukum syara’. Oleh yang demikian, dalam perbicaraan, semua pihak yang terlibat mestilah memberi kerjasama sepenuhnya agar matlamat itu tercapai.
Dengan bidang kuasa yang diberikan, mahkamah hendaklah memastikan proses pengadilan berjalan dengan lancar sejajar dengan tuntutan syara’. Di samping itu pendakwa dan peguam syar’i hendaklah melaksanakan tugas dengan baik dan adil agar kesejahteraan dan keadilan tercapai.
Gambaran ini ditunjukkan berdasarkan sabdaan Baginda SAW;
لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
Maksudnya: “Jika Fatimah binti Muhammad SAW mencuri aku akan potong tangannya” (Hadis Riwayat al Bukhari)
4. Kerjasama masyarakat dalam usaha membasmi kezaliman yang berlaku dalam masyarakat amat penting. Oleh yang demikian, untuk memastikan orang yang bersalah dihukum, orang yang dipanggil untuk menjadi saksi dalam kes perbicaraan perlulah memberi kerjasama sepenuhnya. Pihak tertuduh dan tertuduh hendaklah memberikan kerjasama supaya penyelesaian dapat dijalankan dengan segera.
Oleh:
YB Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak