Home Berita PAS Perlis

Mahasiswa UniMAP anjur program kacau, edar bubur lambuk

185
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 20 Apr: Seramai 40 orang mahasiswa terlibat dalam program kacau dan edar bubur lambuk bersama komuniti bertempat di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Sanglang, di sini semalam.

Mereka merupakan kumpulan mahasiswa yang bernaung di bawah Persatuan Pelajar Fakulti Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (PPFTKE) dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata).

Program berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Dr Mohd Saifizi Saidon.

Salah seorang penuntut yang ditemui, Mior Mohammad Firdaus berkata, program yang bersifat ‘mahasiswa turun padang’ itu antara lain bertujuan mendekatkan kelompok mahasiswa dengan masyarakat di samping memberi pendedahan kepada para penuntut berkenaan khidmat masyarakat.

“Menerusi program sebegini, mereka (mahasiswa) dapat melihat sendiri realiti sebenar yang berlaku dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat di lapangan.

“Alhamdulillah, sebanyak dua kawah bubur lambuk yang disediakan nanti akan diedarkan kepada masyarkat setempat,” katanya yang merupakan Presiden PPFTKE.

Sementara itu, Mohd. Shukri ketika ditemui menyambut baik kesudian para mahasiswa berkenaan untuk mengadakan program di pusat khidmatnya.

“Terima kasih juga diucapkan kepada kumpulan mahasiswa ini atas pelaksanaan program pada hari ini dan kami di PKWR DUN Sanglang sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak demi manfaat para penduduk di sini (DUN Sanglang),” katanya.