Home Berita PAS Terengganu

MAH Terengganu sedia toleransi dalam isu daftar masuk dan keluar hotel

27
SHARE

KUALA TERENGGANU – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu menafikan terdapat sesetengah hotel di negeri ini yang berdaftar dibawahnya terlibat dengan dakwaan menetapkan masa daftar masuk lewat dan daftar keluar awal seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Pengerusinya, Suaibah Harun, berkata namun begitu MAH tetap ambil maklum isu yang sedang tular di media sosial berhubung waktu daftar dan keluar industri perhotelan di Terengganu.

Menurutnya, terdapat 181 buah hotel dan resort berdaftar di Terengganu dan 36 buah darinya berdaftar dengan MAH.

“Setakat ini waktu daftar masuk premis hotel di negeri ini masih mengikut operasi yang ditetapkan iaitu bermula jam 2 hingga 3 petang dan keluar pada jam 12 tengahari.

“Kami sedaya upaya memberikan yang terbaik dalam memastikan industri perhotelan di Terengganu terus kekal kompetitif dan mesra pelanggan.

“Matlamat kami pelanggan sentiasa berpuas hati dengan khidmat yang diberikan termasuk sedia bertoleransi sekiranya ada dikalangan mereka yang memerlukan daftar masuk lebih awal dan daftar keluar lebih lewat atas sebab-sebab tertentu,” katanya kepada pemberita.

Dalam masa sama, Suaibah menasihatkan orang ramai sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan hotel sebelum membuat tempahan.

“Langkah ini (membaca dan memahami terma syarat) penting bagi mengelakkan berlaku salah faham atau ketidakpuasan hati terutamanya berkaitan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan.

Terdahulu, minggu lepas tular tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan keluar pada jam 11 pagi.

Perkara itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.

Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel yang menetapkan seperti itu, malah beberapa inap desa turut bertindak sedemikian.