Maal Hijrah 1440 H: Hijrah Melakar Perkembangan Dakwah Islam
Allah SWT berfirman:
وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
_”Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”_.
(Surah An-Nisa’ : 100)
Alhmdulillah kita telah kembali ditemukan Allah dengan tahun baru Hijrah 1440. Bulan Muharram adalah bulan pertama bagi tahun Hijrah. Peristiwa Maal Hijrah menjadi titik pemula perkembangan Islam dari nuansa berbeza dengan peristiwa hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah sebagai memenuhi tuntutan agama. Pengorbanan untuk berpindah dan bergerak dari halaman tanah air ke satu tempat asing yang berlainan budaya dan tempat bukanlah satu perkara mudah jika tidak dipasak iman dan akidah yang sejahtera.
Justeru itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh negara. Marilah kita menghayati ibrah dari peristiwa Maal Hijrah yang menjadi lambang cinta dan pengorbanan generasi awal Islam bersama Rasulullah demi menyebarluaskan dakwah untuk dicapai generasi kemudian.
DMPM juga menyeru untuk kita bersama meningkatkan amal kebajikan dengan meneladani Rasulullah SAW sebaik-baik contoh teladan. Lengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang memberi manfaat untuk ummah. Umat Islam di era ini harus menyediakan diri dengan segala persiapan dari sudut fizikal dan rohani agar tidak ketinggalan dari sudut menyumbang untuk agama, bangsa dan negara.
Di sebalik sambutan Maal Hijrah yang acapkali dilakar sebagai tahun baru Islam, umat Islam wajar mengambil pelajaran dari sudut perkembangan dakwah Islam yang tidak bersifat statik malah fleksibel dan berinspirasi dalam menyebarkan kefahaman Islam. Rasulullah SAW dan para sahabat adalah manusia yang paling faham tuntutan hijrah demi masa depan agama mereka. Maka, siapakah lagi yang lebih berhak untuk dicontohi jika bukan Rasulullah SAW dan para sahabat.
Semoga Allah sentiasa sematkan kesabaran, ketenangan dan kejayaan buat kita semua. Selamat meneruskan perjuangan dan dakwah buat semua pendokong kebenaran.
Siiru ‘ala barakatillah.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
1 Muharram 1440H
11 September 2018