Home Berita PAS Pahang

Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah tempat ketujuh terbaik SPM

152
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 6 Jun : Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah Beserah telah mencipta sejarah pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tempat ketujuh terbaik di seluruh negara.

Maahad tahfiz tersebut di bawah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) telah tersenarai dalam 20 buah sekolah terbaik dengan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS)1.280 sepertimana diumumkan baru-baru ini.

“Pencapaian sekolah ini secara langsung telah menambahkan bilangan sekolah-sekolah aliran agama yang mencatatkan keputusan cemerlang,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu di laman sosialnya hari ini.

“Saya yakin anugerah kejayaan daripada Allah SWT ini adalah hasil kerja keras anak-anak pelajar, komitmen barisan pentadbir dan guru-guru, serta sokongan yang berterusan dari ibu bapa.

“Apatah lagi calon-calon SPM perlu mengikuti jadual yang padat kerana perlu menduduki kelas Al-Quran untuk menamatkan hafazan sebanyak 30 juzuk,” ujar beliau.

Tambahnya lagi permohonan kemasukan ke sekolah ini sentiasa tinggi setiap tahun, justeru pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan pihak Kementerian Pendidikan perlu meningkatkan kemudahan dan prasarana yang lebih baik untuk sekolah tersebut

“Ia seiring dengan cabaran untuk mengekal dan meningkatkan lagi prestasi cemerlang yang telah dicapai untuk masa hadapan,” katanya.

Andansura Rabu telah hadir ke sekolah berkenaan semalam, bagi menyampaikan cenderahati dan ucapan tahniah serta melahirkan rasa bangganya di atas pencapaian keputusan SPM tersebut.

Turut hadir adalah wakil-wakil Pusat Khidmat DUN Beserah bagi Cawangan Beserah Selatan.