Home Berita PAS Terengganu

Lupus hutang RM8.3 bilion, peneroka felda lega

124
SHARE

HULU TERENGGANU, 9 Julai – Keputusan kerajaan untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion menjadi khabar gembira buat mereka.

Ketua Peneroka Jerangau Barat, Alias Mat Hasan, 63, menyifatkan keputusan itu satu tindakan yang tepat dan melegakan golongan peneroka yang sekian lama menanti pelupusan sebahagian pinjaman milik mereka.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup bermakna kepada peneroka di seluruh negara yang sememangnya menanti berita berkenaan.

“Sememangnya ini yang kita harapkan daripada kerajaan selama ini dan kita juga sentiasa berjuang ke arah itu.

“Terlalu banyak kesukaran dilalui warga peneroka awal dahulu dan inisiatif pelarasan pinjaman peneroka ini menunjukkan kerajaan amat komited dan prihatin terhadap peneroka di Felda seluruh negara yang selama ini dibelenggu hutang.

“Jadi kami amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan selain menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu,” katanya.

Bagi Ngah Zakaria, 59, dia menyifatkan tindakan tersebut sebagai “kemenangan” ke atas pengorbanannya selama 38 tahun membuka hutan untuk dijadikan kawasan penanam kelapa sawit.

Katanya, dia cuma berumur 21 tahun ketika itu dan menjadi peneroka termuda di Jerangau Barat pada tahun 1983.

“Langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka sebagai hadiah buat kami sempena Hari Peneroka FELDA 2021.

“Setakat ini secara terperinci mengenai pelupusan hutang itu masih belum diketahui dan diharapkan ia dapat dimaklumkan kepada peneroka dalam masa terdekat.Ini dapat meringankan beban hutang yang ditanggung dan kami dapat segera selesaikan hutang dengan Felda,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.