KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERLIS
16 Jun 2017 | 21 Ramadan 1438
LUASKAN PASARAN DAN KAWAL PENGELUARAN ATASI LAMBAKAN BUAH HARUMANIS
1. Tindakan lebih proaktif perlu dilaksanakan pihak kerajaan untuk mengelak kejadian lambakan mangga harumanis dari berulang di masa depan. Ia boleh dianggap satu ‘tragedi’ terhadap ikon negeri Perlis itu.
2. Kelemahan pasaran dilihat masih menjadi faktor utama penyebab terhadap masalah lambakan ini, justeru, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu mencari jalan penyelesaiannya, bukan semata-mata membantu dari aspek penanaman sahaja. Hakikatnya ramai pekebun dan pengusaha harumanis menjual sendiri hasil tanaman mereka.
3. Kegagalan memasarkannya dengan baik menyebabkan bekalan harumanis amat sukar diperolehi bagi pasaran di luar Perlis, walhal stok harumanis bagi pasaran dalam negeri adalah terlampau banyak, menyebabkan harganya jatuh teruk dan memberi kesan kepada para pengusaha.
4. Maka, DPPNPs mecadangkan agar agensi-agensi berkaitan khususnya Federal Agriculture Marketing Authority (FAMA) agar memainkan peranan dalam menyusun atur strategi serta kaedah pemasaran harumanis. DPPNPs juga mencadangkan dua kaedah yang boleh dilaksanakan FAMA iaitu melatih para pekebun dan pengusaha dari aspek pemasaran dan menyediakan platform pemasaran buah harumanis di seluruh negara.
5. Bagi mengawal pengeluaran harumanis pula, DPPNPs mencadangkan agar Jabatan Pertanian mengadakan sistem permit kepada para petani dan pengusaha bertujuan mengawal pengeluaran harumanis, menjaga gred buah dan membendung aktiviti penipuan buah harumanis.
6. Pada tahun ini, pengeluaran harumanis yang direkodkan adalah sebanyak 2150 tan metrik. Justeru, jika tidak diurus dengan baik, masalah lambakan buah akan terus berlaku yang memberi kesan ke atas harga. Penurunan harga boleh menyebabkan kerugian yang besar kepada para pekebun dan pengusaha.
7. DPPNPs yakin, sekiranya permasalahan ini ditangani dengan baik, pengeluaran buah yang lebih sistematik dan berkualiti dapat dilaksanakan, sekaligus mampu memenuhi pasaran dalam negara mahupun luar negara.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
HAZIQ ASYRAF BIN DUN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis
{jathumbnail off}