Home Berita PAS Pahang

LKK PAS Bentong terus proaktif hulur bantuan

62
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 2 Julai : Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Bentong (LKK) terus proaktif bergerak menjejak dan menyantuni warga Bentong yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19, kelmarin.

Misi rondaan penyerahan bantuan diketuai Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah ditemani Pengarah LKK, Muhammadin Mustaffa dimulai sekitar perumahan Batu 1 dan Kampung Benus berdasarkan senarai nama yang telah disusun.

“Pengagihan telah diatur mengikut senarai nama namun kami bersiap sedia dengan dua tiga lebihan barangan, bimbang di pertengahan jalan bertemu rumah bendera putih kami akan terus ke sana.” ujar cikgu Khairuddin.

Sementara itu pada hari yang sama, seorang anak muda terputus bekalan makanan kerana tidak dapat keluar bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sehingga terpaksa mengangkat bendera putih di hadapan rumahnya, mendapat perhatian Penyelaras PAS DUN Ketari, Ustaz Roslan Mad Esa.

Tindakan drastik telah diambil oleh Ustaz Roslan. Seusai program di Masjid Bandar Bentong beliau dan pasukannya terus bergegas menyantuni pemuda tersebut di rumahnya dan menghulurkan sumbangan.

“Sayu dan pilu mendengar luahan beliau. Semua pihak tanpa mengira parti dan posisi, mesti tampil bersama-sama membantu mereka yang terjejas khususnya golongan yang terpaksa tawakuf keluar bekerja buat sementara akibat COVID-19.

“Ini bukan wayang atau drama pukul 7. Ini kisah benar. Musibah COVID datang dari Allah, juga benar. Mari kita mengangkat tangan berdoa agar Allah bantu kita dan musibah ini berlalu pergi agar kita dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“PAS Dun Ketari akan berusaha sedaya upaya mendapatkan maklumat golongan yang terjejas akibat pandemik ini dan akan memastikan warga Bentong tidak hidup dalam kesedihan dengan perut kosong di saat perut orang lain terlajak berisi.” ujar Roslan menyampai mesej jelas kepada semua.

Misi bantuan COVID-19 PAS Kawasan Bentong dan DUN Ketari bersama NGO Cakna Rakyat diteruskan ke perumahan Chamang dan Kuala Repas sebelum kunjungan terakhir di Kampung Benus ditemani dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bentong.