Home Berita PAS Terengganu

Lebih RM4.2 Juta Diperuntukkan Hadapi Banjir di Terengganu

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Lebih RM4.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.2 juta ialah daripada kerajaan Persekutuan manakala RM2.038 juta lagi dari kerajaan negeri.

“Peruntukan berkenaan bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelikat kepada mangsa banjir.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri mulai awal bulan depan.

“Keutamaan akan diberikan di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut,”ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini.

Katanya, JKM menyediakan sebanyak 590 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,590 mangsa banjir tahun ini.

Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, pihaknya sudah membuat latihan dan persiapan rapi untuk menghadapi fenomena musim monsun timur laut  berikutan ramalan musim tengkujuh akan berlaku lebih awal kali ini.

“Saya difahamkan semua agensi di bawah Jawatankuasa Bencana Negeri sudah melakukan persiapan menghadapi banjir bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terjejas berjalan lancar.

“Antara persiapan awal dilakukan adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah dan latihan simulasi banjir di peringkat daerah masing-masing telahpun dilaksanakan baru-baru ini,”ujar beliau.