Home Berita PAS Perlis

Lebih ramai penduduk Perlis terima Bakul Makanan PN

131
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 25 Julai: Agihan bakul makanan di bawah Program Bakul Prihatin Negara 2021 yang dibuat secara serentak di beberapa buah lokasi di negeri ini membolehkan lebih ramai penduduk menerima bantuan berkenaan.

Awal pagi tadi, lebih 100 orang penduduk di DUN Indera Kayangan, Bintong, Sena, Kayang dan Kuala Perlis yang terletak dalam Parlimen Kangar, hadir menerima bantuan tersebut.

Penyerahan bakul makanan dibuat oleh Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kangar, Dr Abu Harith dan Naib Ketua Pemuda PN Kangar, Mohd Hafis Yahaya.

Semalam, Wanita PN Kangar turut mengadakan program ziarah dan serahan bakul makanan melibatkan seramai 100 orang penerima dalam kalangan wanita.

Antara yang turun padang menjayakan program berkenaan ialah Ketua Wanita PN Parlimen Kangar, Norhasmayati Che Me dan Naib Ketua Wanita PN Parlimen Kangar, Normi Aziz.

Sementara itu, di DUN Simpang Empat yang terletak dalam Parlimen Arau, seramai lapan orang penerima telah menerima bantuan bakul makanan pagi tadi.

Mereka menerima bantuan berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusi PN Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli dan Penyelaras PN Parlimen Arau, Russele Eizan.