Home Kenyataan Media PAS Kedah

Lebarkan perubahan untuk Malaysia yang sejahtera

424
SHARE

Hari ini, kita sudah berada dalam tahun 2020.
Pada 28 Februari 1991, Tun Dr. Mahathir Mohamad buat pertama kali membentangkan apa yang kita kenali kemudiannya sebagai Wawasan 2020, suatu gagasan untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun ini.

2020 ketika dianggap sebagai gagasan yang cukup hebat, menjadi kekaguman di serata dunia, menjadi kecemburuan negara-negara pesaing manakala bagi negara-negara dunia ketiga, ia menjadi model yang paling sempurna.

Ketika itu, kita sendiri masing-masing tidak dapat mempastikan adakah kita akan masih hidup lagi pada 2020.

Hari ini, dengan izin Allah SWT, bukan kita sahaja yang masih hidup malah Tun Dr. Mahathir sendiri dalam usia yang sudah menjangkau 95 tahun masih bernafas dalam keadaan cergas lagi sihat wal afiat.

Ironinya, yang sudah mati itu adalah Wawasan 2020.

Mengapa terjadi demikian?

Wawasan 2020 digagaskan oleh Dr. Mahathir pada masa itu kononnya adalah dengan mengikut acuan kita yang tersendiri. Dalam erti kata yang lain, kita tidak ingin maju sebagaimana negara-negara Barat yang obses dengan kebendaan dan teknologi namun pada masa yang sama mengalami keruntuhan moral yang maha dahsyat.

Malaysia sebaliknya bukan sekadar mahu menjadi sebuah negara yang maju dari segi teknologi dan gaya hidup tetapi juga unggul dalam hal sahsiah diri setiap rakyatnya selain mempunyai tahap kesedaran rohani yang tinggi.

Begitulah idealnya Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir pada masa itu.
Akan tetapi setelah melangkah masuk ke tahun keramat ini, apa yang sebenarnya kita semua sedang saksikan? Adakah idea-idea daripada gagsan hebat yang pernah mengkagumkan dunia itu berjaya direalisasikan?

Saya yakin, kita masing-masing punya penyaksian yang jelas yang memberikan kita jawapan.
Mengapa?

Memang benar Wawasan 2020 adalah idea yang hebat, dengan objektif yang kelihatannya begitu sempurna tetapi kita kecundang kerana pengisiannya.

Walaupun disebut mengenai moral dan kerohanian tetapi ia tidak lebih adalah gagasan yang semata-mata mengikut kerangka sekularisme.

Wawasan 2020 bukanlah suatu gagasan yang benar-benar berlandaskan Islam, terutama dari segi pengisian. Dari segenap aspek, operasinya sentiasa berputar dalam ruang lingkup kebendaan.
Yang dikejar adalah semata-mata matlamat ekonomi untuk Malaysia segera mencapai status negara maju pada 2020.

Apabila tampuk pimpinan negara berpindah tangan, masih tidak banyak yang berubah meskipun ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Islam Hadhari pula diperkenalkan.
Justeru, inilah natijahnya.

Pada tahun baharu 2020, kita dihadapkan dengan situasi yang amat mencabar dari segi ekonomi mahupun sosial.

Kita berhadapan dengan pelbagai masalah yang tidak pernah terlintas dalam fikiran terutama ancaman yang berkaitan dengan isu-isu perkauman dan agama.

Apa yang lebih membimbangkan ialah adanya elemen kaum dan agama yang dibawa dari luar negara.

Kita juga dihadapkan dengan kemelut kejatuhan nilai Ringgit yang masih tidak berkesudahan meskipun ketika kempen pilihan raya mereka yang lalu, Pakatan Harapan (PH) menabur 1,001 janji mengenai keupayaan mereka untuk segera membaik pulih keadaan sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah keadaan semakin parah, kehidupan rakyat tambah tertekan hinggakan pekerjaan dalam sektor awam yang suatu ketika dahulu dianggap jaminan kini seumpama berpaut pada dahan yang reput.

Pengurangan kakitangan awam, penghapusan skim pencen dan pemberhentian kakitangan kontrak umpama sudah jatuh ditimpa tangga bagi masyarakat terutama orang Melayu yang kebanyakannya berpaut hidup pada sektor awam.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa dalam sektor swasta, peluang untuk orang Melayu bekerja sekadar makan gaji pun kadang kalanya disempitkan dengan pelbagai syarat yang seakan disengajakan dengan tujuan tertentu yang hanya mereka berkenaan sahaja tahu.

Justeru tidak canggung untuk kita tertanya-tanya; apa yang sebenarnya sedang berlaku di tanah air tercinta ini?

Melihat kegagalan dan kelemahan yang semakin parah meskipun di atas kertas, Wawasan 2020 cetusan individu yang sama memimpin negara hari ini dahulunya begitu dikagumi, semua pihak di segenap lapisan dan peringkat seharusnya bermuhasabah diri.

Kembali kepada Islam adalah solusi yang tuntas.

Perjuangan Pas sejak dahulu adalah jelas meletakkan Islam sebagai dasar atau landasan pembangunan melalui slogan Membangun Bersama Islam.

Ada perbezaan yang amat ketara antara menjadikan Islam sebagai dasar dengan meletakkan Islam sekadar di pinggiran. Dalam konteks politik, ada kemungkinan label Islam tanpa pengisian yang komprehensif, menyeluruh dan bersungguh-sungguh sekadar kosmetik.

Cukuplah dengan apa yang telah kita lalui sepanjang tempoh ini yang keadaannya bukan semakin baik malah dilihat menghala ke arah terowong yang akan memerangkap kita semua rakyat jelata.

Kembalilah kepada Islam sebelum tiba saat yang akan membawa kita ke kancah penyesalan.

Yakinilah bahawa Islam bukan sekadar ilmu ketuhanan yang hanya ada di masjid atau surau tetapi adalah Ad-diin iaitu aturan seluruh kehidupan.

Buatlah keputusan yang tepat pada pilihan raya akan datang untuk kita mendapat keberkatan.

Dunia ini milih Allah SWT, dan kita semua adalah hambaNya.

Di samping berusaha untuk menikmati hidup yang lebih baik, keberkatan Allah SWT adalah paling utama. Semoga tanah air kita sentiasa mendapat rahmat dan berkat keampunan daripadanya menjadi sebuah negara yang diterima sebagai Baldatun Thoiiyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Apapun, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat menghirup udara tahun 2020 dengan berbekal sebuah kesedaran dan keazaman untuk perubahan. Kelompok terbesar Islam Melayu yang dahulu terpisah kini bersatu atas semangat Islam yang memimpin. Kelompok bukan Melayu Islam yang mencintai keharmonian pula sedia untuk bersama.

Di atas asas yang penuh barakah ini, marilah kita lebarkan perubahan dan kesedaran ini ke seluruh lapisan rakyat. Tanamkan keazaman sempena tahun baharu 2020 ini untuk menegakkan negara Malaysia yang padat dengan rasa cinta sesama rakyat dan negara. Tolak golongan rasis yang mahu mengancam keharmonian.

Selamat Tahun Baharu 2020.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Ahmad bin Yahaya
Pesuruhjaya PAS Kedah
5 Jumadil Awwal 1441
1 Januari 2020