JERANTUT: Lawatan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ke Dun Tahan baru-baru ini, ternyata memberi impak positif dengan pengumuman bantuan dan kemudahan kepada penduduk setempat khususnya warga Ulu Tembeling.
Adun Tahan Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badardin berkata, lawatan tersebut membolehkan ketua kerajaan negeri Pahang itu segala kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di pedalaman.
Katanya, dalam kunjungan tersebut beliau sempat mengiringi MB bertemu dengan masyarakat di Kampung-kampung Kuala Tahan, Gol, Pagi, Kuala Sat, Bantal, Gusai dan Bukit Mat Daling.
“Antara yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar ialah projek Tambahan Pesisiran Jalan Ulu Tembeling, iaitu jalan masuk ke kampung berjumlah RM160 juta akan ditendar pada Julai 2020.
“Projek Jalan Ulu Tembeling ke Pasir Raja bernilai RM410 juta akan ditender pada tahun ini di mana melibatkan peruntukan daripada KPLB disahkan oleh Pengarah JKR Pahang yang turut hadir).
“Juga diumumkan peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM50,000 untuk telaga tiub sebagai penyelesaian jangka pendek bagi masalah air penduduk Kampung-kampung Tanah Pindah atau Pulau Besar, Bukit Mat Daling,” ujarnya.
Turut diumumkan ialah peruntukan daripada kerajaan negeri bagi kerja-kerja baik pulih masjid sebanyak RM20,000 untuk masjid Kampung Gol, Kuala Tahan, surau Felcra, masjid Kampung. Pagi, masjid Kuala Sat, masjid Kampung Bantal, surau Sungai Kuching, masjid Gusai dan masjid Bukit Mat Daling.
“Terima kasih di atas segala bantuan dan sumbangan yang telah diumumkan. Terima kasih juga buat Pegawai Daerah Jerantut dan semua kakitangannya, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampung dan semua warga Dun Tahan yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini,” tegasnya.
Taman Negara iaitu pusat pelancongan negara terletak di Dun Tahan ini.