Home Kenyataan Media PAS Wilayah

DPPWP | BANTAH PENJARAHAN BERTERUSAN ISRAEL TERHADAP BUMI PALESTIN

583
SHARE

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

BANTAH PENJARAHAN BERTERUSAN ISRAEL TERHADAP BUMI PALESTIN

1. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendokong penuh pendirian Dewan Pemuda PAS Malaysia yang membantah keras langkah Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat melancarkan satu pelan damai berat sebelah yang kononnya dianggap The Deal of Century, sebagai garis panduan ke arah penyelesaian di antara Israel dan Palestin

Pelan bertajuk “Peace to Prosperity: A Vision to Improve the Lives of the Palestinian and Israeli People” tersebut hanyalah jalan belakang Israel untuk terus memangsakan umat Islam di bumi Palestin. Malah, arkitek utama di sebalik penghasilan pelan tersebut adalah Jared Kushner, menantu merangkap penasihat utama Donald Trump yang merupakan pro Israel.

2. Ia bukan sahaja menggambarkan Israel sangat terdesak untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara yang bebas di rantau berkenaan, tetapi juga mesej utama mereka adalah mahu terus bertapak di penempatan haram yang dibina walaupun jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.

3. Tambahan pula, Israel juga mahu terus mengukuhkan cengkaman mereka terhadap Jerusalem sebagai ibu negara yang berada sepenuhnya di bawah pentadbiran Tel Aviv, sehingga menjadi titik tolak bantahan yang lebih keras daripada pihak berkuasa Palestin serta umat Islam keseluruhannya.

4. Pelan damai yang dikemukan turut menuding jari terhadap Hamas yang dianggap ekstrem dan pengganas yang menggugat kestabilan di wilayah berkenaan. Ia diibaratkan seperti buruk muka cermin dibelah, menganggap ketidakstabilan di wilayah berkenaan berpunca daripada Hamas, sedangkan mereka sendirilah sebenarnya punca keganasan yang berlaku.

5. Umat Islam sewajarnya turun bagi menyatakan bantahan ini. OIC telah menolak pelan damai berkenaan kerana ia adalah jelmaan Deklarasi Balfour ala moden. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut menegaskan bahawa Israel dan sekutunya tiada hak untuk mengulangi perjanjian Sykes Picot dengan membahagikan tanah umat Islam sewenang-wenangnya seperti yang terkandung dalam pelan tersebut.

6. Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam khususnya para pemuda di Wilayah Persekutuan supaya turun bersama-sama bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman Israel dan Amerika Syarikat.
Semoga ia dipandang oleh Allah SWT sebagai suatu usaha yang besar dalam membebaskan tanah Palestin yang sekian lama dijajah.

7. Jom turun beramai- ramai ke Himpunan Aman Bantah Pencabulan Tanah Palestin;
>>Jumaat, 07 Februari 2020
>>Selepas Solat Jumaat
>>Berkumpul di Masjid Tabung Haji KL

Mohammad Rashidi Abdul Razak
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
05 Februari 2020