Home Berita PAS Terengganu

Lautan manusia banjiri ceramah agama malam Tahun Baharu Terengganu

21
SHARE

KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Lautan manusia membanjiri ceramah agama bersempena Ambang Malam Tahun Baharu ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ Peringkat negeri Terengganu.

Program yang bermula pada jam 7 petang itu berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini.

Orang ramai mula membanjiri Stadium seawal jam 6.30 petang bagi memastikan mereka mendapat tempat duduk yang selesa.

Ribuan penonton yang hadir turut serta dalam bacaan Yaasin serta solat maghrib secara berjemaah dan diteruskan dengan solat hajat sekali gus mendoakan saudara seislam di Palestin.

Program anjuran kerajaan negeri itu juga turut diselitkan nyanyian nasyid yang dibawa oleh Sheikh Bilal-Hossayny sebelum ke acara utama pada malam tersebut.

Acara utama membawakan beberapa figura terkenal tanah air seperti Ustaz Azhar Idrus (UAI), Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Izhar Ariff dan Ustaz Abdullah Khairi yang memberi ceramah berkaitan isu semasa agama bersempena tahun baharu.

Seramai lebih 20,000 penonton hadir pada malam tersebut tidak berganjak dari tempat duduk bermula awal program berlangsung.

Program Ambang Malam Tahun Baharu ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat yang mewakili Menteri Besar Terengganu.

Acara kemuncak malam tahun baharu dimulakan dengan bacaan Asmaul Husna serta bacaan doa penutup yang disempurnakan oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Zuki Wan Ismail.