Laporan Polis Isu Penularan Surat Tuanku Dan Hasutan Fitnah Terhadap Menteri Undang-Undang – Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) percaya bahawa penyebaran surat yang didakwa sebagai surat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada YAB Perdana Menteri bertarikh 29 Julai tempoh hari adalah suatu perkara yang amat serius dan menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
Jika benar isi surat tersebut, maka ianya adalah sulit dan terhad hanya kepada mereka yang sepatutnya dibaca oleh penerimanya sahaja yakni YAB Perdana Menteri. Menyebarkan isi surat tersebut kepada umum, yang boleh dimuat naik oleh sebahagian pimpinan pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.
Sehubungan itu, satu laporan polis akan dibuat oleh DPPNS pada petang ini di IPD Kajang untuk melihat sama ada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.
DPPNS mengecam segala usaha serta tindakan yang boleh mewujudkan kekecohan di kalangan masyarakat semata-mata ingin memuaskan nafsu serakah politik dan mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh pandemik ini.
“Pemuda Bangkit Demi Islam”
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor