Home Berita PAS Perak

Lanskap Laman Merdeka, usaha PAS Teluk Intan semarakkan sambutan Bulan Kebangsaan

189
SHARE

Oleh: Ummu Nidhal

Teluk Intan, Penganjuran pertandingan sempena Bulan Kebangsaan mampu memupuk ikatan silaturahim antara peserta selain dapat mencungkil bakat baru dalam seni kreatif.

Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abbas berkata, acara yang dianjurkan ini adalah sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotik tanah air.

“Pertandingan yang dianjurkan ini adalah usaha Dewan Muslimat PAS Kawasan sebagai usaha kita (PAS Kawasan Teluk Intan) untuk menyemarak dan memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Dengan adanya penganjuran aktiviti sebegini, ia akan mampu memupuk nilai silaturahim sesama rakyat khususnya buat para wanita selain dapat mencungkil bakat dan kreativiti sedia ada”, ujarnya.

Dalam pada itu, juri pertandingan tersebut yang juga merangkap Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Mohd Azhar Rafie didalam ucapannya berpesan agar wanita untuk sentiasa menghayati nilai sebenar kemerdekaan.

“Mereka (wanita) adalah contoh terhampir kepada anak-anak mereka sendiri yang bakal mewarisi dan mengisi nilai kemerdekaan di masa hadapan.

“Walaupun tanggungjawab mengekalkan kemerdekaan negara adalah kewajipan seluruh rakyat Malaysia, kaum Muslimat juga mesti berperanan besar dalam mencorak dan membentuk generasi baharu untuk menerajui kepimpinan negara,” ujarnya.

Pertandingan tersebut berlangsung kira-kira 16 hari bermula dari 28 Ogos sehingga 12 September 2021.

Melalui penjurian yang dilakukan, penganjuran pertandingan tersebut ditutup dengan pengumuman pemenang yang diadakan pada 16 September baru-baru ini dengan keputusannya:

Pemenang tempat pertama dimenangi oleh Noraini Zaini; tempat kedua, Norizah Mohamed; tempat ketiga Zaharah Jaafar.

Turut hadir dalam acara penyampaian hadiah, adalah Yang Dipertua PAS Kawasan, Ismail Che Nik dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Rostam Malik.

Selain penganjuran pertandingan tersebut, PAS Kawasan Teluk Intan melalui kerjasama Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kawasan, dan Ameerah Kawasan turut menganjurkan pertandingan video pendek, fotografi dan susun silang kata sebagai usaha memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini.