Home Rencana PAS Selangor

Langkah Sheraton dan Akta Lompat Parti – TPJ 1 PAS Selangor

232
SHARE

May be an image of 6 people and text

Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Shafie Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor

Langkah Sheraton dikecam hebat oleh satu blok Ahli Parlimen. Ia disamakan dengan langkah beruk, lompat katak dan macam-macam binatang lagi diumpamakan. Sebabnya hanya kerana langkah Sheraton telah menggagalkan PH kembali berkuasa sesudah Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Langkah Sheraton adalah insiden lompat parti. Pedihnya hati orang-orang yang terkesan, bagai dihiris sembilu. Insiden lompat parti dan pedih hati sebegitu jugalah yang menjadikan UMNO tak bagi muka langsung kepada PPBM, sampai dibuat keputusan di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai “no Anwar, no DAP, no PPBM”.

Insiden lompat parti ini menjadi perbahasan hangat hanya kerana lompatan tersebut telah menyebabkan kerajaan bertukar, atau boleh menyebabkan kepalanya (Perdana Menteri/Menteri Besar/ Ketua Menteri) bertukar. Kalau itu bukan sebabnya maka tidaklah ia menjadi hangat.

Selepas PRU-14 lompat melompat telah bertapak di Perak, Kedah, Johor dan Melaka. Melaka, baru-baru ini sudah kali kedua pasca PRU-14. Tiada mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN daripada PAS yang melompat. Alhamdulillah.

Memang benar insiden lompat parti memberi rasa pedih hati yang amat sangat. Tapi apakandaya, sabar saja la! Sebab tiada undang-undang yang menghalangnya.

Pedih hati sebab insiden lompat parti ni pimpinan PAS dah rasa lama dah. Pada masa itu Tok Guru Nik Aziz adalah MB Kelantan dan Mursyidul Am PAS. Insiden itu berlaku apabila dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan iaitu Nordin Salleh dan Wan Najib melompat parti ke dalam UMNO. Kedua-dua ADUN tersebut menjadi ADUN atas tiket parti Semangat 46 (S46).

Ekoran daripada itu, DUN Kelantan menggubal Enakmen Anti Lompat Parti, yang antara lain kesannya ialah Speaker DUN Kelantan perlu mengisytiharkan ADUN yang melompat parti itu hilang status ADUN-nya, dan perlu diadakan pilihanraya semula. Dan Nordin Salleh adalah salah seorang yang hilang status ADUN-nya.

Malang sekali, apabila Nordin Salleh mencabar keputusan DUN Kelantan tersebut, beliau menang.

Keputusan kes : Mahkamah Agung (mahkamah tertinggi dalam negara pada ketika itu) memutuskan tindakan DUN Kelantan mengisytiharkan Nordin Salleh hilang kerusi DUN-nya dan diadakan pilihanraya kecil adalah salah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Sekalipun tindakan DUN Kelantan tersebut sejajar dengan Enakmen Anti Lompat Parti yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum itu, namun Enakmen tersebut, menurut Mahkamah Agung, adalah melanggar hak kebebasan seseorang untuk memilih parti mana yang dia mahu sertai.

(Info tambahan : Dalam pilihanraya kecil yang diadakan setelah DUN Kelantan mengisytiharkan Nordin Salleh telucut statusnya sebagai ADUN, Nordin Salleh bertanding di kerusi yang sama di atas tiket UMNO, namun beliau kalah dengan calon daripada S46. Walaupun demikian, keputusan pilihanraya kecil itu terbatal dan sia-sia dengan keputusan Mahkamah Agung, di mana Nordin Salleh kembali menjadi ADUN)

Sudah terantuk baru terngadah. Itulah yang PAS rasa. Lama dulu, sudah 30 tahun. PAS sudah cuba menghalang tindakan lompat parti dengan menggubal undang-undang di peringkat negeri. Namun usaha tersebut digagalkan oleh keputusan Mahkamah.

Sekarang, selepas 30 tahun, di peringat Parlimen pula undang-undang anti lompat parti mahu digubal. PAS ucapkan ahlan wa sahlan.

9 Oktober 2021 | 2 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor