Home Berita PAS Selangor

LAMAN Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor | Us Shafie Ngah – Power Corrupts, Absolute Power Corrupts Absolutely

701
SHARE

Betulkah begitu?

Untaian asal kata-kata tersebut adalah “Power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely”.

Terjemahan secara lateral saya; “Kuasa boleh mendorong kepada rasuah, kuasa penuh pula adalah rasuah sepenuhnya.” (Maaf jika terjemahan ini tidak betul-betul tepat).

Khabarnya kata asal bagi untaian kata-kata tersebut adalah daripada Lord Acton, sejarawan British hujung abad ke-19. Sudah tentu ada kisah dibelakangnya, iaitu bagaimana seseorang yang berkuasa telah menggunakan kuasanya untuk menguasai seluruh jentera Kerajaan di bawahnya, demi memastikan harta Negara dibolot di dalam genggamannya.

Lalu, kata-kata itu dijadikan azimat oleh sesetengah ahli politik untuk menyanggah musuh politiknya (sama ada di dalam parti yang sama ataupun terhadap parti musuhnya). Sehingga seolah-olah kata-kata itu suatu pedoman yang mutlak (absolute).

Bagaimana seseorang pemimpin boleh menjadi sebegitu rupa? Mungkin kerana beliau memimpin Negara dalam tempoh yang lama agaknya, sehingga beliau menjadi begitu berkuasa dan musuh politiknya tidak mampu menumbangkannya. Mungkinkah begitu?

Dalam sejarah Malaysia, ada bebarapa orang pemimpin yang memimpin Negara atau Negeri dalam tempoh yang lama. Antara mereka adalah;

  1. Tun Dr. Mahathir Mohamad (UMNO), 22 tahun (16 Julai 1981 – 31 Oktober 2003) dan 22 bulan (BERSATU) (10 Mei 2018 – 1 Mac 2020) .
  2. Dato’ Nik Aziz Nik Mat (PAS), 22 tahun (22 Oktober 1990- 6 Mei 2013).
  3. Tan Sri Abdul Taib Mahmud (PESAKA, Sarawak), 33 tahun (26 Mac 1981 – 28 Februari 2014).
  4. Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad (UMNO), 25 tahun (1 September 1974 – 29 November 1999)

Anda boleh melihat dan menilai pemimpin-pemimpin politik dalam Negara kita, sejauh mana tempoh pemerintahan mereka adalah berkaitan dengan ‘absolute power’ sehingga menjadi ‘corrupts absolutely’.

Mungkin ada benarnya bahawa tempoh yang lama di kerusi nombor satu Negara boleh menjadikan seseorang pemimpin itu mempunyai ‘absolute power’ dan ianya boleh “tends to corrupt”. Namun bagi saya, perkara yang lebih tepat adalah apakah asas yang dipegang oleh seseorang pemimpin itu.

“Erti Kepemimpinan Dalam Islam”

Dalam PAS kami diajar untuk menjadi pemimpin, kena faham beberapa pesan Rasulullah SAW, antaranya;

  1. Kepemimpinan itu suatu amanah, dan boleh menjadi suatu penyesalan di Hari Qiyamah. Demikianlah kata-kata Rasulullah SAW kepada Abu Zar (r.a)’ “Wahai Abu Zar, sesungguhnya jawatan itu suatu amanah, dan di akhirat nanti ia merupakan khizyun wa nadamah (petaka kerugian dan penyesalan), melainkan orang yang mengambil jawatan itu dengan kelayakannya, serta memenuhi tanggungjawabnya.” (Hadith riwayat Muslim)
  2. Kepemimpinan itu berat, sebab kelak ia akan ditanya. Sebagaimana sabda Nabi SAW’ “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap orang akan ditanya tentang kepemimpinannnya. Seorang ketua adalah pemimpin kepada rakyatnya dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannnya. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumah suaminya, dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannnya. Seorang anak adalah pemimpin bagi hakmilik bapanya, dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi kepunyaan tuannya, dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannnya. Ingat, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap orang akan ditanya tentang kepemimpinannnya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Muslim dll)
  3. Kepemimpinan boleh menjadi malapetaka. Gagal memenuhi tanggungjawab kepemimpinan, mati esok tidak cium bau syurga. (Bau syurga boleh dihidu sejauh 700 tahun perjalanan. Jika sejauh itupun tidak terhidu bau syurga, bagaimana mungkin untuk memasukinya!) Sabda Rasulullah SAW; “Sesiapa yang Allah izinkan menjadi pemimpin, kemudian dia mati, matinya itu dalam keadaan ghaasyin (menipu/rasuah/salah guna kuasa dsb), beliau tidak akan tercium bau syurga.” (Hadith Riwayat Muslim)

Konklusinya,

  1. Lamanya tempoh memerintah mungkin boleh menjadi “Power corrupts, absolute power corrupts absolutely.” Tetapi tidak semestinya begitu.
  2. Paling penting adalah kesedaran dalam diri seseorang pemimpin itu sendiri. Pemimpin dari kalangan Umat Islam perlu menginsafi bahawa urusan kepemimpinan tidak selesai di dunia sahaja. Di Akhirat menanti perhitungannya.

Justeru, gunakan jawatan untuk kebaikan, bukan gunakan jawatan untuk diambil kesempatan.

Wallahu a’lam.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

27 Zulhijjah 1441H | 17 Ogos 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#TeamMediaPASSelangor