Home Artikel PAS Selangor

Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor | Ustaz Shafie Bin Ngah – Bersama As-sabiquun al-Awwaluun

346
SHARE

Menitik air mata pagi ini setelah pulang ke rumah selepas sesi sarapan pagi bersama para veteran PAS Bangi. Terharu. Betapa bahtera PAS ini dilatari oleh orang-orang lama dan awal dalam perjuangan parti. Khususnya di Bangi ini, bilangan mereka masih ramai.

Bergoncanglah bagaimanapun bahtera ini, mereka tetap istiqamah. Istiqamah mereka bukan kerana bergantung kepada pemimpin. Jika kerana pemimpin, apabila pemimpin pergi, mereka turut akan pergi. Istiqamah mereka bukan kerana habuan. Jika kerana habuan, dalam PAS memang tiada habuan. Bukan setakat tiada habuan, malah selalunya akan keluar duit pula. Sebahagian duit mereka diberikan untuk parti, untuk perjuangan.

Itulah kumpulan as-sabiquun al-awwaluun (السابقون الاولون ) dalam PAS Bangi.

As-sabiquun al-awwaluun bermaksud kumpulan awal yang mendukung parti. Dalam al-Quran kalimah As-sabiquun Al-awwaluun menggambarkan kumpulan awal yang mendudukung risalah dakwah Rasulullah SAW. Mereka mendukung perjuangan baginda SAW, termasuk berhijrah ke Madinah, meninggalkan harta benda dan kampung halaman demi perjuangan bersama Rasulullah SAW. (Lihat ayat 100 surah at-Tawbah dan ayat 10 surah al-Waqiah).

Bagi para veteran PAS Bangi, mereka alami pertukaran nama beberapa kali, apabila berlaku pertukaran sempadan pilihanraya. Mula-mula PAS Sepang, kemudian PAS Hulu langat, lepas itu PAS Serdang, dan sekarang PAS Bangi.

No hal. Perjuangan adalah kekal.

Lebih menarik pagi ini, pertemuan diadakan seawal jam 7.15 pagi. Jarang-jarang berlaku program parti dibuat seawal itu. Luar biasa!

Dan satu lagi, jawatankuasa As-sabiqun PAS Bangi secara rasmi ditubuhkan pada pertemuan ini, dengan pemilihan seorang Pengerusi dan empat orang ahli jawatankuasa utama.

Kami doakan kepada kalian, sebagaimana doa Nabi SAW;
سيروا على بركة الله
(Moga kalian maju dengan iringan keberkatan Allah)

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

27 Muharram 1442H | 15 September 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor

#IstiqamahSehinggaKemenangan