Home Berita PAS Sarawak

Lahirlah Sarawak Dengan Prinsip

736
SHARE

Memaknakan hari Sarawak selepas 57 tahun mestilah sesuai dengan usianya. Isu kita berkisar hak, pembangunan ekonomi, pengurusan hasil kita yang mewah dan pembangunan struktur masyarakat yang moden sesuai dengan budaya anak Sarawak yang sentiasa bertoleransi.

Namun, benarkah masyarakat kita telah memahami prinsip ini dan bukan hanya terpengaruh dengan maklumat yang telah dimanipulasi demi tujuan peribadi pihak tertentu?

Mengimbas kembali detik sejarah hari dimana negeri ini telah diberi pemerintahan sendiri yang bebas pada 22 Julai 1963. Penyerahan kuasa pentadbiran itu adalah dengan harapan bahawa ia akan bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun yang sama (Frans Welman, 2017).

Sudah pasti garis permulaan ini iaitu membentuk Persekutuan itu perlu disemai bersama jati diri anak Sarawak sekaligus sebagai rakyat Malaysia.

Ini menolak fahaman ekstrim untuk memisahkan negeri ini tanpa memahami demografi dan budaya kita yang memiliki banyak persamaan dengan wilayah lain di dalam persekutuan. Idea pemisahan itu hanyalah alasan untuk kumpulan tertentu menguasai negeri ini.

Jika kita mendewasakan rakyat Sarawak dengan hormat menghormati dan toleransi yang tinggi sehingga kita menjenamakan diri kita sebagai negeri yang harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama, prinsip toleransi itu juga perlu difahami oleh rakyat dan pemerintah.

Makna toleransi secara harfiah dan leksikal bermaksud menanggung, tahan, atau bertahan (Abdul Halim, 2008). Toleransi berasal dari bahasa Latin, toleransi yang bermaksud kelenturan, kelembutan hati, pemikiran luas dan sukarela (Jaffary, 2003). Toleransi sering diheret kearah memilih jalan tengah atau sama rata. Ia nyata salah.

Contohnya sekiranya Islam menuntut umatnya untuk taat kepada agama seperti tidak boleh keluar dari agama sesuka hati, maka toleransi dari bukan Islam adalah dengan sukarela atau terbuka hati menerima malah perlu bersama mempertahankan hak warga Islam ini kerana kesannya jika mereka taat akan agama, sudah pasti keharmonian akan terbit.

Ianya seolah-olah seperti getah yang boleh dilentur tetapi jangan diputuskan agar gegelung getah itu telah bersambung dan terus anjal.

Membina pembangunan negeri ini dengan kekayaannya adalah satu agenda yang mesti dipikul bersama oleh rakyat dan pemerintah. Malah pemerintah kita iaitu kerajaan negeri ketika ini mesti turun ke lapangan untuk mendengar perjalanan rakyat.

Zaman ini bukan lagi hanya sekadar turun dan menunaikan permintaan rakyat agar rakyat terus menyokong di dalam pilihanraya. Bukti jelas apabila rakyat menghukum Barisan Nasional pada PRU14 lalu. Bukan jaga menguasai negeri ini untuk membina empayar puak dan legasi kekayaan sehingga rakyat merana.

Disinilah kejujuran dan keikhlasan untuk mentadbir dan mengurus negeri ini sesuai dengan kehendak Tuhan yang menuntut untuk memakmurkan bumi.

“…Dia-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya…”. (Surah Hud, ayat 61). Ulama’ menekankan kalimah “isti’mar” yakni memakmurkan itu, ialah perintah supaya manusia melaksanakan dan menegakkan segala tanggungjawab yang diletakkan di atas diri manusia.

Para ulama’ juga telah menggariskan makna memakmurkan dunia ini kepada tiga tanggungjawab besar, iaitu tanggungjawab kepada agama, tanggungjawab kepada masyarakat dan tanggungjawab kepada manusia.

Maka, hari ini bukan lagi berkelahi bangsa manakah yang layak memerintah negeri ini atau menghitung bilangan anak bangsa dan kaum masing-masing yang bekerja di sektor pentadbiran, industri atau segala sektor yang ada.

Tetapi soal pemimpin yang benar-benar memahami prinsip seperti mana Islam yang memiliki prinsip jelas perlu diangkat dan dipertahankan. Dengan pemahaman jelas tentang prinsip dan menjadi pegangan pemimpin tersebut, maka arah tuju negeri ini kearah kesejahteraan akan dapat dicapai.

Dari situ lahirlah masyarakat yang bertamadun sesuai dengan budayanya yang menjadi sebahagian dari jati diri selain teguh pendirian agamanya. Inilah kelahiran Sarawak sebenar yang berperinsip teguh.

SELAMAT HARI SARAWAK!

Zharudin Narudin
Ketua Penerangan PAS Sarawak

#UntukmuSarawak
#PASSarawak
#SarawakDay2020
#IbuPertiwiku