Home Berita PAS Wilayah

Lahir TASTI sulung di Wilayah Persekutuan Labuan

1297
SHARE

Oleh: Nurhidayah Zamdee

LABUAN, Selasa – Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) al Medina merupakan TASTI pertama yang ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Labuan dan telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Hajah Nuridah Mohd Salleh bersama saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan Labuan (DMPKL) di sini ahad lalu.

Turut hadir adalah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Azhar Yahya, AJK Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP), AJK PAS Kawasan Labuan dan AJK TASTI.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dewan Muslimat PAS Kawasan Labuan atas penubuhan TASTI sulung di Labuan dan akan terus mengorak langkah ke hadapan untuk membantu ummah.

“Dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang dilalui oleh DMPK Labuan yang pastinya mendapat sokongan padu dari PAS Kawasan Labuan menjadikan asbab berjayanya penubuhan TASTI pertama di sini. Moga kerjasama baik ini akan merealisasikan percambahan TASTI dan akan mengekori PASTI yang menjadi permintaan ramai di Labuan”, ujarnya.

Acara menurunkan tandatangan perasmian TASTI disempurnakan oleh YB Senator sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga DMPKL, Ummu Bushro Malik meluahkan rasa terharu dan gembira kerana dengan berkat semangat yang kuat dan usaha para AJK TASTI menubuhkan TASTI sulung di Labuan akhirnya berhasil.

“Saya sangat kagum dengan komitmen AJK dan kerjasama daripada semua pihak. Terima kasih tidak terhingga kepada para penyumbang yang banyak memberikan suntikan dana sehingga tertubuhnya TASTI yang diidam-idamkan,” ujar Ummu Bushro.

TASTI merupakan satu lagi inisiatif pendidikan di bawah kelolaan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM). Cetusan idea penubuhan TASTI daripada Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga DMPM mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada semua peringkat Dewan Muslimat PAS seluruh Malaysia. Penubuhan TASTI ini merupakan yang ke tiga (3) di seluruh Wilayah Persekutuan.