Home Berita PAS Terengganu

Ladang Solar Tasik Kenyir bakal hasilkan 2,000 MW Tenaga Elektrik

43
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang akan dimulakan dalam masa enam bulan akan datang, dijangka dapat menghasilkan sehingga 2,000 MW (megawatt) tenaga elektrik.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kumpulan Terengganu Inc telah mengorak langkah bekerjasama dengan TNB Genco bagi melaksanakan projek berkenaan dengan fasa pertama sebanyak 400MW yang menelan belanja sebanyak RM2 bilion.

“Semua ini dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan baharu negeri.

“Usaha ini selari dengan matlamat kerajaan negeri bagi menghasilkan 1,000 MW bersamaa 1 GW (gigawatt) tenaga dari solar dalam tempoh lima tahun mendatang yang akan meningkatkan kapasiti penjanaan melebihi 30 peratus menjelang tahun 2025.

“Selain itu, Terengganu turut sama menjayakan agenda nasional dengan menggalakkan semua subsidiari menjana tenaga solar menerusi pemasangan panel di premis perniagaan mereka, sebagai contohnya di Primula Beach Hotel, PESAKA Terengganu Berhad, Permint Plywood, pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU dan Permai Hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Program Latihan Korporat Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan Terengganu Inc (CDP 2024) di Pusat Konvensyen Duyong Marina, semalam.

Hadir sama ialah pengasas & pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dato’ Seri Sir Dr Jeffrey Cheah, pengasas & pengerusi Weststar Group of Companies, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim serta mantan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Majlis berkenaan menghimpunkan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat di bawah kerajaan Terengganu dalam persidangan selama sehari pada hari ini.

Bertemakan ‘Empowering Tomorrow : Investing In ESG for a Sustainable Future’, Program CDP 2024 akan berlangsung dengan lima sesi pembentangan dan satu sesi forum yang akan dibarisi oleh panelis yang berkaliber daripada pelbagai bidang dan kepakaran.