Home Berita PAS Terengganu

Terengganu naikkan tajaan biasiswa pelajar cemerlang B40 ke RM1 juta

34
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengumumkan tajaan biasiswa YT-TI ‘Young Talent Scholarship Programme’ bagi tahun pengajian 2025\2026 akan dinaikkan sebanyak RM500,000 kepada RM1 juta setahun.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ir Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan berita baik itu, merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Terengganu Inc yang telah menjadi penyumbang program berkenaan yang kini memasuki tahun ketiga.

“Program tajaan biasiswa bermula pada tahun 2022 dengan tajaan sebanyak RM500,000 kepada 10 pelajar cemerlang dari golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama.

“Terengganu Inc juga pada tahun ini telah berkolaborasi dengan Yayasan Pendidikan Maidam bagi program biasiswa Tunas Scholar dengan dana awal sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2024.

“Program ini mensasarkan golongan anak-anak asnaf fakir, miskin dan fisabilillah yang layak bagi melanjutkan pengajian dalam bidang diploma kejururawatan dan fisio terapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Terengganu Inc Group Corporate Director’s Programme’ (CDP 2024) di Pusat Konvensyen Duyong Marina, semalam.

Program berkenaan menghimpunkan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat di bawah kerajaan Terengganu sebagai usaha memastikan keberkesanan dalam melaksanakan tugas sekali gus dapat mengembalikan manfaat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat.

Tambahnya, Kumpulan Terengganu Inc telah membelanjakan sebanyak RM7.3 juta bagi enam bulan pertama 2024 untuk tujuan CSR.

“Perbelanjaan CSR ini  disasarkan kepada kopmuniti, pendidikan. persekitaran, sukan, keagamaan dan sebagainya merangkumi sumbangan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

“Oleh kerana dana agak terhad, maka bermula saat ini hingga seterusnya, kita akan aturkan CSR mengikut kumpulan sasar dengan objektif lebih khusus di tempat yang lebih bersasar.

“Jumlah ini selari dengan jumlah CSR Kumpulan Terengganu Inc sebanyak RM11-12 juta setahun yang dibelanjakan syarikat itu sejak tahun 2018,” ujarnya.