Oleh: Muhd Nurazmi Yusof
Wangsa Maju, 22 April 2018: Unit PACA Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Wangsa Maju telah menganjurkan kursus PACA siri yang ke 4 bertempat di Pejabat PAS kawasan, Taman Melati Utama.
Pengisian kursus yang menggabungkan teori, simulasi di bilik pengundian serta perkongsian pengalaman ini terbuka kepada semua ahli PAS yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat secara sukarela demi kemenangan PAS di dalam pilihanraya.
Kursus yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu adalah bertujuan memberikan pengetahuan, kefahaman serta selok-belok tugasan khususnya yang pertama kali bertugas untuk parti.
“Alhamdulillah Kursus PACA ini telah berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancang. Seramai 30 orang sukarela telah menghadirkan diri sejak pagi tadi”, kata Ketua Unit PACA, Puzi Ahmat.
Namun tambah beliau, urusetia masih mengharapkan lebih ramai lagi ahli menawarkan diri sebagai petugas menjelang pilihan raya umum ke 14 nanti.
Sasaran sebenar para petugas yang diperlukan adalah seramai 300 orang semasa hari pembuangan undi.
“Melalui kursus ini, diharapkan petugas akan berupaya menghadapi situasi sebenar pada hari mengundi nanti seterusnya membantu proses pemilihan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah diwartakan”, ujarnya lagi.