Home Berita PAS Perlis

Kurang kesedaran Islam punca pemimpin membisu soal akidah

376
SHARE

 

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 9 Mac: Kurangnya kesedaran Islam dalam kalangan pemimpin beragama Islam di negara ini menjadi punca mengapa mereka seringkali membisu apabila timbul isu-isu berkaitan akidah umat Islam.

Menurut Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana persoalan berkaitan akidah adalah persoalan yang amat besar yang sering ditegaskan oleh Rasulullah SAW.

“Kalau moderator tanya saya, mengapa pemimpin (Islam) tidak terlibat secara langsung dalam isu ini, pada pandangan saya, ia berkaitan al-wa’yul Islami, kesedaran Islam yang sangat rendah dalam kalangan umat Islam.

“Kita rasa tidak sensitif akan perkara yang besar, yang disebutkan oleh Rasulullah SAW iaitu perkara yang berkait dengan akidah ini perlu kita letakkan di hadapan, mesti diutamakan,” katanya pada forum bertajuk ‘Mempertahankan Aqidah Tiga Kanak-Kanak Mualaf – Tanggungjawab Siapa ??’ yang berlangsung di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini semalam.

Menurut Hashim lagi, apabila berlaku sedemikian, mana mungkin gelombang kesedaran dalam kalangan rakyat juga dapat digerakkan.

Untuk itu katanya, PAS telah melakukan pelbagai usaha sejak dahulu lagi termasuklah mengangkat martabat mahkamah syariah demi memelihara kepentingan Islam serta membangkitkan kembali kesedaran umat Islam di negara ini.

“Sebab itulah, RUU355 yang dibentangkan di Parlimen, atas kesedaran bahawa kita kena buat sesuatu untuk melahirkan kesedaran Islam ini.

Seolah-olah kita (PAS) boleh baca dah (akan perkara ini), tiga kanak-kanak ini peluk Islam, tapi tidak terbela.

“Sebab itu kita minta supaya martabatkan mahkamah syariah dalam negara kita ini.

Jelas Hashim, selagi negara menggunapakai sistem dan peraturan yang sama, maka selagi itulah isu-isu berkaitan Islam tidak akan mendapat pembelaan yang seadilnya.