Kunjungan Rasmi PAS Kawasan Parit dan Pasir Salak ke Majlis Daerah Perak Tengah
Seri Iskandar, 29 Sept – PAS Kawasan Parit, diketuai Ustaz Hj Muhammad Ismi Bin Mat Taib selaku Yang DiPertua Pas Kawasan Parit, bersama Pas Kawasan Pasir Salak yang diwakili oleh Ustaz Jamaluddin selaku Timbalan Yang Dipertua telah mengadakan kunjungan, bertemu dengan Yang Di Pertua Majlis Daerah Perak Tengah, MDPT, Encik Mohd Syukri Bin Azaari.
Pertemuan diaturkan bagi merakamkan ucapan tahniah atas perlantikan sebagai YDP MDPT yang baru. Kesempatan ini juga dimanfaatkan untuk menyampaikan saranan serta cadangan Pas Kawasan Parit dan Pasir Salak secara umum mengenai hala tuju pembangunan Perak Tengah dari sudut pembangunan ekonomi, infrastruktur, sosial dan pendidikan.
Pertemuan yang berlangsung dengan cukup baik selama dua jam itu, sempat mengupas dan membincangkan pelbagai isu antaranya memartabatkan Seri Iskandar sebagai Bandar Ilmu. Sesuai dengan bilangan institusi pendidikan yang banyak, serta peratus jumlah masyarakat Melayu beragama Islam yang tinggi, Seri Iskandar perlu diperkenalkan sebagai bandar ilmu.
Begitu juga kelebihan yang ada di Kampung Gajah, iaitu Litar Dato’ Sagor yang terkenal sebagai litar yang menjadi tumpuan penggiat sukan permotoran, kerap kali diadakan acara bertaraf tinggi di situ, melibatkan penggiat sukan dari seluruh Malaysia, dan Negara jiran seperti Thailand.
PAS Parit menyatakan kesediaan dan komitmen untuk sama-sama membantu pihak MDPT mengurus dan mentadbir Perak Tengah agar sumber, khazanah, serta segala potensi yang ada dapat dibangunkan dan dimanfaatkan, seterusnya dinikmati oleh masyarakat setempat.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Encik Shukri atas perlantikan beliau sebagai YDP MDPT yang baru. Semoga dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berdedikasi. Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha MDPT, Encik Nor Akmal Bin Yang Ghazali, Timbalan YDP Parit, Tn Hj Zawawi Ghazali, Bendahari Pas Parit, Cikgu Abd Razak Mat Taha, Ahli Majlis daripada PAS Kawasan Parit, Ustaz Muhammad Salim Bin Mat Taib, Ustaz Zafarulnizam Bin Zan dan wakil jawatankuasa PAS Pasir Salak.
Semoga hubungan dan kerjasama yang terbina ini dapat dipertingkatkan dari masa ke masa, ke arah Perak Tengah yang lebih maju dan berkebajikan.