KUALA LUMPUR, 5 Mac: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) telah melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Pilihan Raya Wilayah Persekutuan untuk bertemu dengan pengarahnya, Tuan Suhaimi bin Hamid di pejabatnya di Menara TH Selborn, Jalan Tun Razak.
Rombongan BPPWP ini telah diketuai sendiri oleh Pesuruhjaya iaitu Tuan Haji Mohamad Noor bin Mohamad dan disertai oleh beberapa orang ahli jawatankuasanya serta pengarah pilihanraya PAS kawasan-kawasan seluruh Wilayah Persekutuan.
Antara perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam pertemuan tersebut adalah:
a. Daftar Pemilih Induk (DPI) yang terkini
b. Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT)
c. Peraturan Perjalanan Pilihanraya (Seperti Deposit Calon, Bahan Kempen, dll.)
d. Permit pameran bahan kempen
e. Persempadanan Semula Parlimen dan
f. Lain-lain hal berkaitan pilihanraya
Tuan Suhaimi dan beberapa orang pegawainya telah memberikan maklumbalas yang baik tentang persoalan yang ditimbulkan bertepatan dengan ruang lingkup tugasan mereka selaku penyelaras perjalanan pilihanraya negeri.
Simulasi pengundian pos juga turut dilakukan oleh beberapa kakitangan SPR untuk menambahkan lagi kefahaman ahli-ahli rombongan yang hadir.
Di akhir pertemuan, Tuan Suhaimi merakamkan penghargaan di atas kerjasama PAS Wilayah selama ini dalam menjayakan peranan SPR dalam gerak kerja PRU. Seterusnya kedua-dua pihak telah saling bertukar cenderahati masing-masing tanda keharmonian di dalam pertemuan tersebut.