Home Artikel PAS Perlis

Kunjungan DPPNPs Bincang Kerjasama Dengan JKM Perlis

283
SHARE

Oleh: Haziq Dun

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPNPs) baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Mohammad Hazam Ismail di pejabatnya di Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Perlis, dekat sini.

Pertemuan ini bagi melihat ruang kerjasama yang boleh diterokai antara PAS Perlis dengan JKM Negeri Perlis khususnya dalam membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang sukar mendapatkan peluang pekerjaan.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan adalah cadangan untuk mewujudkan kompleks perniagaan khusus bagi golongan OKU di negeri ini.

Pada kesempatan itu juga, satu kertas kerja Cadangan Pemerkasaan Pengurusan Orang Kurang Upaya (OKU) turut diserahkan kepada Mohammad Hazam oleh Ketua Pemuda PAS Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Ustaz Muhammad Azmir ketika ditemui menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai amat positif serta merakamkan ucapan tahniah kepada pihak JKM yang begitu komited menjaga kebajikan rakyat negeri Perlis.

“Saya amat tersentuh dengan penerangan yang diberikan pengarah berkaitan usaha JKM dan kesungguhan OKU untuk menjalani kehidupan mereka yang begitu mencabar pada ketika ini.

“Dewan Pemuda PAS Perlis juga sedia menawarkan khidmat Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis untuk membantu pihak JKM dalam sebarang aktiviti membantu golongan asnaf di negeri ini,” katanya.