DUNGUN: Mangsa kebakaran di Kampung Binjai Che Lijah, disini telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Dungun,Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan juga ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun.
Kunjungan ini menunjukkan tanda keprihatinan PAS terhadap rakyat yang ditimpa musibah.
Disamping menyampaikan sumbangan awal, kehadiran Yang Dipertua PAS Dungun itu, pada 19 Februari cuba mengurangkan sedikit kedukaan mangsa kebakaran, Mohd Shamrizal Mat Jusoh, 34 dan keluarganya.
Ustaz Wan Hassan yang turut meninjau di sekitar tempat kejadian telah diiringi oleh Cikgu Alias yang telah bergegas ke tempat kebakaran pada Ahad, 18 Februari 2018 yang lalu.
Mangsa dan isterinya, Rozizailani bt. Abdul Ghani serta tiga orang anak mereka yang masing-masing berusia 10,9 dan 2 tahun kini menumpang di rumah ayahnya di Balai Besar.
Di dalam kebakaran yang berlaku pada 11.30 pagi itu, dipercayai berpunca wayar letrik, merebak hanya dalam masa 30 minit sahaja itu turut melibatkan rumah neneknya yang kebetulan tiada di rumah.
Pasukan bomba dari Balai Bomba Dungun dan Al Muktafil Billah Shah telah dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menghalang api
yang sebelumnya marak daripada terus merebak ke rumah ketiga yang terletak berhampiran.
Sehubungan itu, orang ramai dipelawa menyumbang untuk membantu mangsa, menerusi akaun Maybank isterinya Rozizailani bt. Abdul Ghani yang bernombor 1640-2587-9189.