Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Kesejahteraan Wanita : Pengangkutan Awam Khas Alternatif Terbaik

256 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA

Kesejahteraan Wanita : Pengangkutan Awam Khas Alternatif Terbaik

1. Gangguan Seksual khususnya terhadap kaum wanita sering menjadi kebimbangan dan trauma terutama bagi wanita bekerjaya dan aktif keluar rumah. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merasa bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga keselamatan semua wanita di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak walau di mana pun mereka berada terutama di tempat-tempat awam.

2. Pujian harus diberikan pertamanya kepada Keretapi Tanah Melayu (KTM) kerana telah mengasingkan koc wanita bagi memudahkan dan memberi keistimewaan kepada kaum wanita. Usaha ini harus dipuji dan sepatutnya dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat dengan sistem pengangkutan awam seperti bas, Light Rail Transit (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan lain-lain.

3. Selain pengangkutan awam, terdapat juga pengangkutan lain seperti Uber dan Grab yang tidak khusus untuk wanita. Oleh itu, DMPM memuji dan menyokong usaha yang sangat baik oleh pencetus ‘Riding Pink’ kerana telah mewujudkan satu kemudahan khusus untuk wanita.

4. Riding Pink telah bermula pada pada Oktober 2016 dan masih beroperasi sehingga kini. Ianya merupakan hasil inisiatif seorang wanita yang risau dan cakna tentang keselamatan kaum sejenis.

5. DMPM memandang serius hal ini dan ingin mengajak semua pihak terutama pihak berautoriti agar menguatkuasakan pelaksanaan pengasingan koc pada pengangkutan awam sedia ada.

6. Selain itu para pengguna wanita mestilah mengetahui hak mereka ini agar orang lain tidak boleh mengambil kesempatan terhadap diri mereka. Wanita mesti menjadi seorang pengguna yang bijak dan celik hak.

7. Kaum lelaki juga perlu melaksanakan peranan mereka sebagai pelindung dan pembela wanita sebagaimana tuntutan al-Quran dalam surah An-Nisa’ ayat 34,

… ۚالرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka……”

Dr. Rosni binti Adam
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
21 Februari 2018 bersamaan 5 Jamadilakhir 1439